KUALA LUMPUR - Pembukaan semula Stadium Merdeka, yang menjadi tempat laungan keramat 'MERDEKA!' bergema buat pertama kalinya pada 1957, dapat berterusan menggamit memori sejarah, memupuk nilai dan semangat patriotisme ketika negara mencapai kemerdekaan.
Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, ini kerana stadium yang menyimpan lipatan sejarahnya tersendiri itu dibina khas untuk pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 oleh Perdana Menteri Pertama Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.
"Ia dibina khusus sebagai tanda mercu kemerdekaan kita, jadi ia sangat perlu dilestarikan untuk selama-lamanya memandangkan nilai sejarahnya begitu signifikan sekali. Ia bukan sahaja sebahagian daripada kemerdekaan kita, malah ia sebenarnya kemerdekaan kita itu sendiri.
"Apabila stadium ini dibuka semula, sudah tentu ia akan digunakan. Maka setiap kali stadium ini digunakan, ia akan memperingatkan rakyat tentang kemerdekaan yang dicapai dan betapa pentingnya kemerdekaan itu dalam kita membuat keputusan tentang negara,” katanya kepada Bernama.
Sehubungan itu, Kok Seong turut menekankan agar aktiviti bersifat kemerdekaan termasuk penganjuran sukan, konsert, teater, perhimpunan, wajar dilaksanakan di stadium itu di sepanjang Bulan Kebangsaan bagi menghidupkan lagi semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat sebagai tempat yang sinonim dengan perjuangan generasi sebelum ini.
Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Arshad Raja Tun Uda mengumumkan Stadium Merdeka dijangka dibuka semula kepada orang ramai pada suku kedua tahun ini selepas ia ditutup sejak 2016.
Katany,a usaha restorasi untuk mengembalikan stadium itu kepada keadaan asal seperti pada 1957 mendapat kerjasama daripada Badan Warisan Malaysia dan Jabatan Warisan Negara selain turut menerima Anugerah Kecemerlangan dari Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Sementara itu, pakar sejarah, Prof Datuk Dr Ramlah Adam berkata, pembukaan semula stadium itu sangat dialu-alukan memandangkan negara tidak mempunyai monumen lain yang boleh mengingatkan rakyat kepada hari penting pada 31 Ogos 1957.
Beliau menzahirkan rasa syukur kerana kawasan stadium itu tidak ‘diusik’, malah telah dikekalkan dalam keadaan asal memandangkan rakyat memerlukan sesuatu yang simbolik untuk diingatkan kepada peristiwa penting mengenai sejarah tanah air.
"Stadium ini dulu tidak dipeduli, banyak acara kita lebih tertumpu di Stadium Nasional Bukit Jalil dan lain-lain. Tetapi ada pihak mempunyai kesedaran yang tinggi terhadap sejarah dan warisan negara, maka pembukaan dan penggunaan semula stadium ini secara meluas patut kita alu-alukan.
"Sepatutnya kita uar-uarkan stadium itu bukan sahaja sebagai tempat yang kecil mahupun besar tetapi yang mempunyai kepentingan nasional atau signifikan kepada masyarakat. Jadikan ia sebagai stadium yang mudah didatangi oleh pengunjung,” katanya.
Stadium Merdeka dianggap sebagai keajaiban kejuruteraan Persekutuan Tanah Melayu apabila mula dibina pada 1956 dan siap dalam tempoh setahun seterusnya menjadi tempat Tunku Abdul Rahman mengisytiharkan kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957, diikuti pembentukan Malaysia pada 16 September 1963. - Bernama