IPOH - Lelaki yang ditahan selepas disyaki terlibat dalam kebakaran kediaman Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham di Taman Semarak Jaya di Ayer Tawar, Rabu lalu bukan ahli politik.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, siasatan awal dijalankan mendapati, individu berusia lingkungan 30-an itu tidak mewakili mana-mana parti di negeri ini.
Beliau berkata, siasatan kes itu masih dijalankan termasuk mengetahui motif sebenar kejadian sama ada berunsur dendam atau sebab lain.
"Motif kejadian masih dalam siasatan," katanya.
Lelaki berkenaan telah ditahan sekitar jam 4 pagi di Shah Alam, Selangor pada Jumaat.
Perintah reman diperolehi selama lima hari sehingga Selasa depan bagi siasatan kes di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan.
Polis sebelum ini tidak menolak kemungkinan kebakaran berlaku akibat perbuatan khianat susulan penemuan bahan letupan dipercayai 'molotov cocktail' yang menjadi punca kebakaran berlaku.
Dalam kejadian sekitar jam 3 pagi itu, pemimpin DAP tersebut bersama ahli keluarganya tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kebakaran hanya melibatkan kemusnahan sebuah kereta Mercedes Benz E300 dan kesan kepanasan kepada dua kenderaan lain iaitu jenis Honda CRV dan Toyota Hilux.