KOTA BHARU - Kemalangan menimpa bapa kepada empat anak dari Kampung Kuala Besar, di sini mengubah kehidupan keluarganya kerana hanya terlantar dan tidak dapat bekerja mencari rezeki.
Omar Mohamad Danyan, 37, juga terpaksa berjimat menggunakan simpanan yang ada serta mengharapkan ihsan keluarga terdekat.
Berkongsi kejadian berkenaan, Omar berkata, segalanya bermula pada 19 Disember lalu ketika dia menunggang motosikal untuk pulang ke rumah dari masjid berdekatan selepas solat Maghrib berjemaah.
"Secara tiba-tiba sekumpulan pelajar melintas jalan menyebabkan saya terpelanting selepas menekan brek secara mengejut.
"Akibat kemalangan itu, kaki kanan dan tangan kiri saya patah selain mengalami luka dalam di bahagian lengan dan dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) selama dua hari," ujarnya ketika ditemui di rumah sewanya pada Sabtu.
Menurutnya, selama menerima rawatan dia buntu memikirkan sumber kewangan kerana dia merupakan tonggak keluarga manakala isteri, Nur Aida Idayu Arif, 34, tidak bekerja berikutan anak bongsu mereka berusia empat bulan.
Katanya, dalam tempoh rawatan, doktor memberi cadangan memasang besi di bahagian kaki yang patah namun dia menolak kerana menghidap penyakit kencing manis.
"Saya tidak mahu menanggung risiko dan bimbang keadaan lebih teruk selepas prosedur itu. Buat masa ini saya memilih rawatan secara tradisional," katanya.
Bagaimanapun katanya, pemimpin setempat termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Dr Izani Husin turut melawat dan memberikan sumbangan dan menasihatkannya supaya melakukan prosedur berkenaan.
Jelas Omar lagi, dia terpaksa menggunakan lampin pakai buang kerana pergerakan yang terhad dan keperluan itu masih mencukupi kerana sumbangan pihak yang bersimpati dengan terhadap masalahnya.
"Selepas kemalangan, saya tidak dapat tidur dengan tenang berikutan dua anak masih bersekolah dan belum ada sebarang persediaan kewangan untuk membeli peralatan sekolah pada Mac nanti," katanya.
Omar turut menjaga ibu mertuanya, Rohana Yacob, 57, yang menghidap pelbagai penyakit termasuk buah pinggang tahap tiga, kencing manis, dan darah tinggi.
"Saya juga tidak dapat membayar bil utiliti dan sewa bulanan rumah sebanyak RM250 sebulan menyebabkan tunggakan meningkat," katanya.
Orang ramai yang bersimpati boleh menghubunginya di talian 017-9891953 atau terus menyumbang melalui akaun Maybank bernombor 103016162250 atas nama Omar Mohamad Danyan.