Koop Sahabat jalin kerjasama dengan pengendali umrah elak penipuan

Iklan
Ahmad (tiga dari kiri) menyampaikan simbolik dokumen pelantikan pengendali umrah dan ziarah pada Majlis Perasmian Sahabat Ar Rahnu Pontian di Pusat Perdagangan Pontian, pada Sabtu.

PONTIAN - Bagi mengelakkan ahli Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (Koop Sahabat) menjadi mangsa sindiket penipuan umrah, koperasi itu menjalinkan kerjasama bersama tiga agensi untuk menawarkan pakej umrah kepada ahlinya.

Pengerusi Lembaga Koop Sahabat, Mohd Najib Mohd Noor berkata, kemunculan iklan dan tawaran pakej umrah dengan tawaran menarik yang berleluasa membuka ruang kepada kegiatan sindiket penipuan umrah.

Iklan
Iklan

"Oleh itu, Koop Sahabat Malaysia hari ini menjalinkan kerjasama bersama tiga operator umrah yang berpengalaman dan mempunyai reputasi baik bagi membantu memudahkan urusan ahli menunaikan ibadat umrah dengan terjamin.

"Ahli Koop Sahabat akan diberi kemudahan pakej harga bersesuaian mengikut kemampuan dan keselesaan, selain kami turut memberikan pinjaman kepada ahli untuk yang mahu melakukan ibadat umrah sebagai kemudahan mereka," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas merasmikan Sahabat Ar Rahnu Cawangan Pontian dekat sini pada Sabtu.

Perasmian disempurnakan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan yang juga Ahli Parlimen Pontian

Iklan

Mengulas lanjut, Mohd Najib berkata, Koop Sahabat akan memastikan operator atau agensi dilantik itu mematuhi setiap syarat dan perjanjian ditetapkan serta menawarkan pakej terbaik dengan harga berpatutan.

Ahmad (tiga dari kiri) ketika merasmikan Sahabat Ar Rahnu Cawangan Pontian di Pusat Perdagangan Pontian pada Sabtu.

"Penerbangan pertama bagi pakej umrah bersama Koop Sahabat ini adalah pada bulan depan.

"Operator umrah yang dilantik juga akan menyediakan kursus umrah secara percuma kepada anggota koperasi dan setakat ini kursus sudah diadakan di Pahang dan Johor sebelum diperluaskan ke negeri lain," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Najib berkata, Koop Sahabat mengembangkan rangkaian perniagaan perkhidmatan Sahabat Ar Rahnu koperasi itu dengan cawangan ke-30 yang terletak di Pontian.

Katanya, cawangan itu adalah yang ketiga di negeri ini selepas Sahabat Ar Rahnu Kluang dan Batu Pahat.

"Koop Sahabat adalah koperasi ketiga terbaik di negara ini selepas Koperasi FELDA dan FELCRA, sudah menjalankan perniagaan Ar Rahnu sejak 2014 lagi.

"Peningkatan cawangan Sahabat Ar Rahnu telah menunjukkan prestasi memberangsangkan pada tahun kewangan 2023 dengan pendapatan bersih RM27 juta, peningkatan 58 peratus berbanding 2022.

"Jumlah pengeluaran pembiayaan Sahabat Ar Rahnu pada tahun lalu melebihi RM300 juta membuktikan perkhidmatan ini menjadi pilihan dan dipercayai seramai 450,000 ahli kami di seluruh negara," katanya.