Kementerian Pengangkutan laksana inisiatif sepanjang musim perayaan Thaipusam

Iklan
Sidang Media Perkhidmatan KTMB Komuter 4 hari 3 malam sempena Thaipusam 2024 yang dirasmikan oleh Anthony Loke (empat dari kanan); Jana Santhiran Muniaya (dua dari kanan) dan Mohd Azumi (tiga dari kiri) di KTM stesen Batu Caves pada Sabtu. Foto SINAR HARIAN / MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH

BATU CAVES - Kementerian Pengangkutan (MOT) melaksanakan beberapa inisiatif bersama Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sempena musim perayaan Thaipusam pada 25 Januari depan.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, inisiatif tersebut adalah perkhidmatan komuter secara percuma selama 48 jam, komuter tambahan 24 jam sepanjang musim perayaan tersebut dan perkhidmatan ETS tambahan dari Utara.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ia bagi memudahkan orang ramai terutama penganut hindu dan pelancong untuk datang ke Batu Caves bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas sepanjang musim perayaan itu.

"Tambang percuma ini bermula jam 12 tengah malam 24 Januari selama 48 jam sehingga jam 11.59 malam pada 25 Januari.

Iklan

"Pengguna perlu dapatkan tiket percuma atau gunakan medium tiket yang dibenarkan seperti kad Touch ‘n Go, kad kredit atau kad debit yang dikeluarkan oleh bank tempatan dan mengimbasnya di pintu masuk stesen,” katanya ketika sidang akhbar Perkhidmatan KTMB Komuter di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Jana Santhiran Muniayan; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB, Mohd Rani Hisham Samsudin dan Pengerusi Dhaya Maju Infrastructure (Asia) Sdn Bhd (DMIA), Jeneral Tan Sri Mohd Azumi Mohamed.

Iklan

Sementara itu, Anthony Loke berkata, sebanyak 27 perkhidmatan tambahan disediakan selama empat hari bermula 23 hingga 26 Januari bagi laluan Batu Caves - Pulau Sebang - Batu Caves.

Ujarnya, ia memudahkan pengguna Pelabuhan Klang untuk datang ke Batu Caves kerana perkhidmatan tersebut tanpa henti.

"Oleh kerana musim perayaan ini, kita tambah perjalanan dan beroperasi selama 24 jam untuk memudahkan orang ramai serta tidak akan menambahkan lagi kesesakan lalu lintas.

"Jumlah keseluruhan tren tambahan KTM Komuter ini sebanyak 72 perkhidmatan setiap hari,” ujarnya.

Bagi memudahkan pergerakan penganut Hindu dari Zon Tengah dan Zon Utara Semenanjung, Anthony Loke memaklumkan pihak KTMB menawarkan empat perkhidmatan ETS tambahan sehari bagi laluan Butterworth - KL Sentral dan Padang Besar - KL Sentral.

"Sebanyak 3,159 tiket akan dijual bermula 15 Januari nanti. Laluan dari Butterworth pada 24 dan 25 Januari manakala laluan Padang Besar pada 26 sehingga 28 Januari,” katanya.