PONTIAN - Fenomena air pasang besar di Tanjung Piai sememangnya menjadi salah satu tarikan buat pelancong untuk ke titik penghujung benua Asia itu setiap tahun.
Fenomena yang menyebabkan limpahan air laut ke kawasan Taman Negara Johor Tanjung Piai menyebabkan kawasan anak tangga menuju ke taman tersebut berubah menjadi air terjun.
Menariknya fenomena air pasang besar yang kebiasaannya berlaku pada penghujung Disember, kini berlaku pada pertengahan Januari selama tiga hari bermula Jumaat.
Pengunjung dari Bandar Pontian, Azie Saidon, 30, berkata, dia mengambil kesempatan cuti hujung minggu untuk berkunjung ke Tanjung Piai bersama keluarga.
"Saya tidak sangka dapat melihat air pasang besar di Tanjung Piai. Biasanya air pasang besar pada hujung tahun, tetapi kali ini berbeza kerana terjadi pada pertengahan Januari.
"Anak paling gembira kerana dapat bermandi-manda bersama rakan-rakan mereka, keadaannya cukup riuh dan gembira untuk kanak-kanak," katanya.
Bagi Fahrudin Muhamad, 40, dari Kampung Serkat pula tidak melepaskan peluang untuk ke Tanjung Piai untuk melihat sendiri fenomena air pasang besar.
"Orang kampung di Tanjung Piai biasanya akan tahu bila air pasang besar berlaku. Cuma kali ini air pasang besar berlaku pada Januari dan bukannya seperti biasa pada Disember.
"Setiap kali air pasang besar memang akan datang ke Tanjung Piai untuk bawa anak-anak bermandi-manda di kawasan pintu masuk taman negara," katanya.
Wakil Taman Negara Johor Tanjung Piai, Mohd Sidiq Sumary berkata, hampir 500 pengunjung direkod melawat taman negara tersebut pada Sabtu bagi melihat fenomena air pasang besar yang bermula Jumaat.
Katanya, berdasarkan makluman Jabatan Laut Malaysia (JLM), paras air masih terkawal dengan mencecah 3.6 meter (m) dari paras laut dan tidak merbahaya kepada para pengunjung yang datang.
"Fenomena ini tidak berlaku setiap bulan, tetapi hanya setahun sekali, cuma uniknya tahun lepas pada Disember, tiada fenomena ini, sebaliknya berlaku pada Januari iaitu hari ini. Waktu kemuncak air pasang pada jam 12 tengah hari akan beransur surut sehingga 2 petang.
"Namun, kawalan dan pemantauan akan terus dilakukan oleh kakitangan bagi memastikan keselamatan pengunjung,” katanya.
Sementara itu, tinjauan di Pekan Kukup mendapati air pasang besar tidak menjejaskan pergerakan penduduk dan pelancong.
Malah, kanak-kanak dilihat turut bermandi-manda di kawasan jalan raya yang turut dilimpahi air akibat fenomena air pasang besar tersebut.
Selain Tanjung Piai dan Kukup, fenomena air pasang besar turut Pekan Benut. Namun setakat ini, keadaan terkawal dan tidak pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka susulan kejadian air pasang besar.