PORTAL stylecaster.com menjangkakan majoriti jenama mega bakal melancarkan koleksi busana wanita berasaskan warna terang dan neon pada tahun 2020.
"Umum menyedari, warna terang dan neon akan menjadi trend utama di pentas fesyen 2020.
"Justeru, percikan gaya peribadi anda perlu menggunakan nuansa tersebut lebih-lebih lagi warna hijau terang,” jelas laman web itu.
Sementara itu, pereka fesyen terkemuka negara, Datuk Tom Abang Saufi pula menyifatkan koleksi busana potongan longgar dan ringkas bakal menjadi trend fesyen tahun 2020.
"Biarpun industri semakin moden dan urban, namun sebahagian besar wanita lebih cenderung menggayakan pakaian yang selesa.
"Ini termasuklah busana yang tidak terlalu sarat dengan perincian dan menggunakan fabrik ringan. Kriteria tersebut sentiasa menjadi filosofi saya tatkala menghasilkan rekaan,” ujar pereka berusia 64 tahun itu ketika ditemui Femina di Kuching, Sarawak baru-baru ini.
Bicara beliau, dari segi rona, palet nuansa terang bakal mewarnai industri fesyen antarabangsa dan tempatan khususnya warna hijau.
Selain warna neon, apakah gaya popular tahun ini? Jom ikuti perincian trend fesyen yang bakal mewarnai sepanjang tahun baharu ini.
1 Bintikan polka
Pemerhati fesyen menyifatkan busana corak polka dot mula menambat hati golongan wanita selepas Ratu Amerika, Norma Smallwood menggayakan pakaian renang motif tersebut sekitar tahun 1926. Kemudian, muncul pula karakter kartun Disney, Minnie Mouse yang comel menyarungkan gaun kembang rona merah bertatah polka dot nuansa putih.
Biarpun berusia 94 tahun, nampaknya motif berkenaan 'tidak dimamah' usia, malah kekal relevan sepanjang zaman. Tahun 2020 diramal sekali lagi menyaksikan polka dot menduduki carta teratas sebagai fesyen wajib dimiliki sama ada himpunan blaus, dres, sepatu, hijab atau tas tangan.
Bahkan, jenama antarabangsa Carolina Herrera juga tidak ketinggalan menampilkan koleksi busana polka dot pada Minggu Fesyen New York 2020 di Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini.
Menariknya, corak itu bukan sahaja ideal untuk wanita bertubuh langsing, malah mereka berbadan gempal juga berpeluang menggayakan fesyen terbabit. Asalkan, anda bijak memilih saiz bintik bersesuaian dengan bentuk fizikal.
2 Percikan nuansa neon
Lupakan seketika palet warna gelap ataupun pastel kerana simbahan nuansa neon sedang menguasai trend fesyen tahun ini.
Tidak dinafikan, segelintir wanita ragu-ragu untuk menyarungkan busana rona hijau elektrik, merah jambu, kuning dan biru kerana bimbang kelihatan berlebihan berbanding orang sekeliling.
Namun begitu, tahukah anda pemilihan warna-warna neon sebenarnya membantu menyuntik penampilan tampak funky, muda, elegan, moden dan stailo. Justeru, usah gusar untuk menyarungkan jaket warna merah jambu atau celana hijau elektrik.
3 Kuasa material kulit
Bukan hitam dan coklat gelap, sebaliknya pakaian material kulit rona terang dilihat mewarnai gaya 2020. Jika sebelum ini anda lebih cenderung membeli jaket kulit warna selamat, apa kata tahun ini melakukan sedikit perubahan.
Hidupkan isi almari dengan variasi pakaian berasaskan kulit yang menerapkan rona merah hati, jingga, merah, ungu ataupun hijau pucuk pisang.
Selain pakaian, beg tangan, kasut dan aksesori kepala material kulit warna-warna terang juga boleh dijadikan koleksi wajib tahun ini. Item fesyen berkenaan bukan sahaja sesuai digayakan tatkala menikmati kopi di kafe hipster, malah tampak ranggi dipakai ketika menyertai konvoi motosikal berkuasa besar bersama suami.
4 Rambu-ramba
Sekitar tahun 1920, masyarakat native Amerika Syarikat baik wanita mahupun jejaka dikatakan sentiasa menghias pakaian dan pelengkap gaya mereka dengan elemen rambu-ramba.
Bagaimanapun, bagi golongan wanita, pada tempoh tersebut, elemen itu bukan sekadar stail semata-mata, sebaliknya bertujuan menutup potongan skirt yang singkat.
Justeru, tahun bersilih tahun penerimaan pencinta fesyen terhadap gaya rambu-ramba semakin meluas. Terkini, stail rambu-ramba antara tercatit kemas dalam diari fesyen 2020. Bukan sahaja pada mini dres, skirt atau blaus, bahkan jaket denim dan beg silang juga menjadi item pilihan dihiasi juntaian tali warna senada bagi menyuntik kelainan.
5 Retro 60-an
Pengaruh retro ala 60-an kembali menghangatkan industri fesyen. Simpan kemas busana berasaskan warna lembut dan natural kerana nuansa terang menjadi tema utama pentas runway 2020.
Oleh itu, jangan bimbang untuk memadankan blaus warna jingga bersama skirt ataupun palazo rona ungu. Selain palet warna, elemen retro 60-an juga bermain dengan fabrik cetakan pengulangan geometri, flora, abstrak dan psychedelic.
Ini bermakna, selain dres labuh atau tunic (gaun separa lutut), kain bercorak sedemikian juga ideal dijadikan baju kurung dan kebaya.
Bagi menyerlahkan gaya ala retro, praktikkan konsep suai dan padan bersama warna terang.
6 Kuning Marigold
Warna kuning inspirasi bunga Marigold atau dikenali bunga tahi ayam mendominasi trend fesyen 2020. Bagaimanapun, rona berkenaan bukanlah kuning neon ataupun kuning metalik.
Ia lebih kepada campuran kuning ton gelap dan lembut. Bagi anda yang kurang keyakinan untuk menyarungkan keseluruhan gaya kuning Marigold, usah bimbang. Solusi terbaik padankan bersama item fesyen warna hitam, putih, kelabu atau coklat.
Namun begitu, selain pakaian seperti seluar potongan tirus atau blazer, wanita juga boleh menggayakan gelang tangan, rantai, kasut tapak baji atau beg genggam kuning Marigold.
7 Sut persis maskulin
Ironinya, berbicara sahaja mengenai gaya wanita, fikiran kita pantas membayangkan gaun meleret, skirt potongan A, blaus ataupun kemeja yang mengikut potongan badan.
Walhal, kaum Hawa juga berpeluang tampil maskulin yang menerapkan sisi feminin. Pemakaian sut misalnya, antara item fesyen pilihan 2020.
Kombinasi seluar slack dan blazer potongan fit warna sedondon bersama kemeja rona lembut secara tidak langsung menyerlahkan gaya sofistikated khususnya wanita bekerjaya dalam bidang korporat.
Buktinya, lihat sahaja penampilan selebriti Scha Alyahya dalam persalinan kot jenama @atelierfitton sentuhan gaya oleh #stylebyyanabaharuddin ketika beliau menjadi juri tetap pertandingan Dewi Remaja 2019.
8 Kot dres
Mungkin segelintir wanita menyifatkan kot dres hanya sesuai digayakan di negara beriklim sejuk kerana menggunakan fabrik tebal. Sebenarnya, di Malaysia pun anda berpeluang menyarungkan busana tersebut ke acara tertentu yang berlangsung di dalam dewan berhawa dingin.
Jika tidak percaya, singgah ke laman sosial Instagram penyanyi popular Dayang Nurfaizah @dayangsayangkamu. Membelek satu persatu kepingan foto dimuat naik, Dayang antara selebriti yang bijak menggayakan kot dres mengikut kesesuaian acara dan majlis.
Meskipun busananya berwarna hitam atau putih polos, tetapi anak kelahiran Kuching, Sarawak itu kekal stailo apabila dirias dengan konsep solekan dan dandanan rambut bersesuaian.
9 Cantik bak bunga
Wanita dan bunga sememangnya sukar dipisahkan. Sang pujangga pernah mengungkapkan bahawa wanita ibarat sekuntum bunga yang berseri dan kembang mewangi.
Berikutan simbiosis indah tersebut, semarak gaya flora juga menduduki carta trend fesyen 2020. Biarpun bunga-bungaan tampak klise dan sering digunakan untuk busana tradisional, tetapi jika bijak mengolah dan memilih, anda dapat mencipta penampilan menawan.
Cuba perhatikan gaya pengacara dan usahawan, Noor Neelofa Mohd Noor ketika menghadiri pertunjukan fesyen musim luruh/sejuk 2019 koleksi Miu Miu. Jaket bersaiz longgar motif bunga sudah memadai untuk menyerlahkan gaya bekas pengacara program Meletop itu.
10 Gelembung ekstravaganza
Lengan puff (gelembung) dalam potongan ekstravaganza dan longgar kembali menjadi trend fesyen tahun 2020.
Pemilihan eleman puff sedemikian memberikan nilai tambah menarik, anggun, romantis dan memukau pada lengan blaus atau gaun polos.Pada masa sama, konsep tersebut bakal menjadi titik tumpuan orang sekeliling.