PETALING JAYA - Seorang pegawai khidmat pelanggan maut setelah motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kereta dalam kejadian di Kilometer 4.4, Jalan Lapangan Terbang Subang di sini pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abd Hamid berkata, kejadian kira-kira jam 5.46 pagi itu berlaku ketika mangsa berumur 37 tahun dalam perjalanan ke tempat kerja di Lapangan Terbang Subang.
"Mangsa yang menunggang bersendirian dipercayai dilanggar dari arah belakang oleh sebuah kenderaan yang bertindak melarikan diri sejurus selepas kejadian," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.
Katanya, mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
"Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk proses bedah siasat.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 30 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Menurutnya, rakan, keluarga atau sesiapa yang mengenali mangsa diminta tampil ke mana-mana balai polis berhampiran.
"Selain itu, saksi kejadian diminta berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Abdul Ghafur Baharuddin di talian 017-7478139.
"Polis sama sekali tidak berkompromi terhadap pengguna yang memandu secara berbahaya dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang melanggar peraturan jalan raya," katanya.