SHAH ALAM - Manifesto salah seorang calon Pilihan Raya Kampus Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi sesi 2023/2024 yang sebelum ini berkempen akan memberi deodoran kepada pelajar yang mempunyai masalah bau badan telah meraih kejayaan.
Mahasiswa dari Fakulti Perniagaan Ekonomi dan Perakaunan, Siti Nur Asyerra Wasli berjaya mengalahkan lima calon yang turut menjadi pesaingnya.
Menerusi kempen pilihan raya tersebut, gadis yang berasal dari Kampung Lohan Satu Ranau, Sabah itu turut berjanji untuk memperkasakan semula Sistem Mentor-Mantee Pelajar.
Walaupun sebelum ini terdapat kecaman daripada netizen, namun manifesto tersebut seolah-olah diterima apabila dia meraih kemenangan untuk menjadi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) universiti itu.
Menerusi pemilik akaun @brgsjks berkata, mahasiswi berkenaan telah berjaya memenangi pilihan raya tersebut dengan manifesto yang berbeza daripada calon lain.
"Tahniah semua akak ‘ketiak’ menang.
"Saya setuju dengan manifesto yang dibuat. Masalah ini berat. Masalah pencemaran udara,” katanya dalam hantaran di X pada Sabtu.
Pada 9 Januari lalu, masalah bekalan air yang membelenggu warga UMS dan sekitarnya dijangka selesai selepas kerja paip utama bagi menyalurkan air tambahan dari Loji Rawatan Air (LRA) Telibong 2 di Tuaran siap.
Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Shahelmey Yahya, berkata kontraktor sudah diarah untuk menyiapkan segera kerja berkenaan sebelum akhir Januari ini.
Katanya, penyiapan kerja di paip utama itu dijangka dapat meredakan isu kekurangan bekalan air di UMS dan sekitarnya memandangkan LRA Telibong 2 Fasa 2 (T2P2) yang ditunggu selama ini sudah siap dan memulakan operasi sejak awal Disember lalu.