TEL AVIV - Perang Israel ke atas Hamas tidak akan terhenti kerana kes saman dikemukakan ke atasnya di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICJ).
Kata Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, tiada siapa yang dapat menyekat mereka termasuk ICJ.
"Kita sudah memasuki 100 hari perang.
Kami akan meneruskan perang ini sehingga akhirnya kemenangan berpihak kepada kami, semua objektif kami tercapai, untuk menghapuskan Hamas, tebusan penduduk Israel dibebaskan dan Gaza tidak lagi menjadi ancaman kepada Israel.
"Kami akan mengembalikan keamanan di selatan dan utara.
Tiada yang dapat menghalang kami, sama ada The Hague, syaitan atau sesiapapun," katanya.
Netanyahu juga memaklumkan masih meneliti keperluan mengambil alih koridor di sepanjang sempadan Semenanjung Gaza dengan Mesir.
Korban rakyat Palestin meningkat kepada 23,843 orang, 60,317 cedera
Dalam pada itu, perang Israel ke atas rakyat Palestin memasuki hari ke-99 pada Sabtu dengan 12 lagi kejadian pembunuhan dilaporkan di Semenanjung Gaza di mana seramai 135 orang terbunuh manakala 312 yang lain cedera sepanjang 24 jam yang lalu.
Sementara itu jumlah korban akibat serangan rejim Israel ke atas Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober lepas, meningkat kepada 23,843 orang, menurut Kementerian Kesihatan Palestin pada Sabtu.
Kementerian itu dalam satu kenyataan memaklumkan sekurang-kurangnya 60,317 lagi cedera.
Sejumlah mangsa juga dilaporkan masih berada di bawah runtuhan dan di jalan-jalan raya kerana ambulans tidak dapat masuk ke lokasi serangan. - Awani