KLANG - Orang ramai terutama penduduk Klang dinasihat sentiasa berwaspada susulan fenomena air pasang besar yang diramal berlaku pada Ahad dan Isnin.
Pejabat Daerah dan Tanah Klang memaklumkan, bacaan paras air laut di daerah itu pada dua hari tersebut dijangka berada pada paras 5.1 meter yang mungkin membawa risiko banjir.
Mengikut info grafik yang dikongsikan menerusi akaun Facebook, bacaan paras air laut dijangkakan setinggi 5 meter pada jam 7.53 pagi dan 5.1 meter pada 8.31 malam Ahad.
Pejabat Daerah dan Tanah Klang turut merekodkan bacaan air laut pada jam 7.53 pagi diramal setinggi 4.8 meter dan 5.1 meter pada 9.11 malam Isnin.
Fenomena air pasang besar ini dijangka berlaku di stesen Pelabuhan Klang.
"Berdasarkan ramalan bacaan paras air laut tertinggi, dijangkakan akan mencatatkan bacaan pasar air laut sehingga 5.1 meter.
"Orang ramai diminta untuk bersedia dan sentiasa peka dengan keadaan alam sekeliling," menurut Pejabat Daerah dan Tanah Klang di laman Facebooknya.
Untuk sebarang kecemasan orag ramai boleh hubungi Talian Kecemasan Negara di talian 999 dan Pusat Bencana Operasi Daerah Klang di talian 03-33716700 (telefon) atau 010-9731963 (WhatsApp).