GAZA - Lebih 4,000 tentera rejim Zionis mengalami kecacatan dan menerima status orang kurang upaya (OKU) sejak perang bermula di Semenanjung Gaza pada 7 Oktober lalu.
Bagaimanapun, web berita Israel, Walla melaporkan, tentera Israel tidak memberikan rekod awam mengenai angka korban bagi tujuan mengelak kemerosotan semangat dalam masyarakat Israel.
Sebelum ini, akhbar Israel mendedahkan, lebih 5,000 tentera cedera di Gaza sejak perang bermula dengan hampir 2,000 secara rasmi menerima status OKU oleh Kementerian Pertahanan.
Menurut akhbar harian Yedioth Ahronoth, lebih 58 peratus daripada mereka yang cedera mengalami masalah serius pada tangan dan kaki sehingga memerlukan anggota itu dipotong.
"Lebih 5,000 tentera yang cedera tiba di hospital di Israel. Lebih 2,000 tentera diiktiraf secara rasmi oleh Kementerian Pertahanan sebagai OKU.
"Lebih 58 peratus daripada mereka yang cedera yang kami terima mengalami kecederaan serius di tangan dan kaki termasuk memerlukan amputasi.
"Kira-kira 12 peratus pula mengalami kecederaan dalaman membabitkan kerosakan limpa dan buah pinggang," lapor akhbar itu memetik Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pemulihan Kementerian Pertahanan, Limor Luria.
Malah, Luria dilaporkan berkata, kira-kira tujuh peratus anggota tentera Israel turut mengalami tekanan psikologi dan jumlah itu dikhuatiri akan meningkat dengan mendadak.
Sebelum ini, tentera Israel mendakwa sekurang-kurangnya 420 anggotanya terbunuh sejak tercetusnya konflik Gaza. - AFP