KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Pembinaan jalan sementara ke Kampung Lata Janggut Seberang di Jeli sudah bermula minggu ini dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh dua minggu lagi.
Penghulu Mukim Sungai Long, Wan Azman Wan Musa berkata, selepas perbincangan Pejabat Tanah dan Jajahan Jeli bersama penduduk, tiga pemilik tanah berdekatan jalan runtuh itu bersetuju bekerjasama untuk pembinaan jalan terbabit.
Menurut beliau, jalan sepanjang kira-kira 200 meter itu boleh dilalui kenderaan ringan.
"Laluan sementara itu turut memudahkan orang ramai menggunakan kereta untuk keluar bekerja dan membeli barangan harian," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Wan Azman memberitahu, sebelum ini penduduk di kampung itu menerima bakul makanan daripada Pejabat Tanah dan Jajahan Jeli dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) sehingga Ahad lalu.
Jelas beliau, laluan berbatu itu juga diharap dapat memudahkan penduduk dalam persediaan persekolahan dan Ramadan.
Kejadian runtuhan jalan di Kampung Lata Janggut Seberang pada 29 Disember tahun lalu mendapat perhatian Menter Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang terus mengarahkan pembinaan jalan sementara.
Sementara itu, kerja-kerja pembinaan jalan sementara di Kampung Lata Janggut Seberang di sini, dianggarkan menelan kos sebanyak RM60,000.
Ketua Jajahan Jeli Mohd Shaifudeen Mohd Salleh berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) memaklumkan kos pembinaan itu merangkumi kerja-kerja pembersihan kawasan tapak, kerja tanah, pembinaan jalan dan lencongan air yang boleh menyebabkan risiko gelinciran tanah.