KUANTAN - Kerajaan Pahang melalui Jabatan Mufti Pahang sudah melaksanakan kempen solat Subuh berjemaah di negeri ini.
Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar Dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, usaha itu dilakukan bagi memupuk generasi muda mengimarahkan masjid dengan solat Subuh berjemaah secara konsisten.
"Kita sudah atur melalui Jabatan Mufti dan kalau tidak silap saya beberapa tahun lalu. Kempen ini turut diselitkan dalam khutbah dan ceramah melalui pendakwah mahu pun bual bicara bersama mufti.
"Gegantung juga diletakkan di masjid-masjid utama di seluruh negeri bagi mengajak umat Islam untuk menunaikan solat berjemaah pada waktu Subuh," katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kerdau itu memberitahu, anugerah masjid makmur fajar akan diberikan kepada institusi agama yang paling ramai jemaah.
Ujarnya, usaha ini bagi menggalakkan lebih masyarakat mengimarahkan masjid pada waktu Subuh.
Sebelum ini, Kempen 'Subuh Macam Jumaat' sebelum ini dicetuskan selebriti popular, Alif Satar sebagai tanda solidariti kepada penduduk Semenanjung Gaza, Palestin.
Program dimulakan di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara pada hari pertama tahun ini dan berjaya menarik hampir 3,000 jemaah.