Pelajar maut kemalangan, polis kesan tiga lagi penunggang motosikal

Iklan
Seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan di KM7.8 Lebuhraya Guthrie arah selatan menuju ke Shah Alam pada pagi Ahad. Foto hiasan

SUNGAI BULOH - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan tiga lagi penunggang motosikal yang dipercayai terlibat dalam kemalangan maut di KM7.8 Lebuhraya Guthrie arah selatan menuju ke Shah Alam, dekat sini pada pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Shafa’aton Abu Bakar berkata, dalam kejadian jam 4.14 pagi itu, seorang penunggang motosikal berusia 18 tahun meninggal dunia di tempat kejadian.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, kemalangan maut melibatkan pelajar tersebut dipercayai membabitkan tiga penunggang motosikal lain.

"Kejadian berlaku di jalan sedikit selekoh menaiki bukit apabila kesemua motosikal terlibat dipercayai telah hilang kawalan dan berlanggar sesama sendiri.

Iklan

"Akibat pelanggaran tersebut, mangsa telah tercampak ke tengah penghadang besi jalan dan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Shafa’aton berkata, penunggang motosikal yang lain telah melarikan diri dari lokasi kejadian dan sedang dikesan pihak polis.

Iklan

Menurut beliau, lokasi kejadian terdapat banyak komponen kenderaan yang pecah dan bersepah di atas jalan.

Katanya, ketika kejadian berlaku, cuaca adalah baik.

"Pihak polis telah membuat rakaman percakapan melibatkan waris mangsa dan saksi kejadian.

"Sehubungan itu, pihak polis kini sedang giat mengesan penunggang dan pemilik motosikal yang terlibat dengan kemalangan maut ini," katanya.