SUNGAI PETANI - Inisiatif sekumpulan anak muda menjadikan lorong tepi bangunan sebagai lokasi tumpuan kini mendapat perhatian Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) setelah kawasan itu diberi nafas baharu.
Lorong tepi yang sebelum ini sunyi dan sepi telah berubah wajah sesuai dengan fungsi dan matlamatnya ingin menarik lebih ramai pengunjung ke kawasan itu.
Pengasas Kolektif Biggy, Ainol Zulkarnain Zainal Abidin berkata, kerja-kerja naik taraf yang dijalankan telah menyemarakkan semangat anak muda meningkatkan ekonomi setempat.
Menurutnya, sebelum ini, usaha memeriahkan kawasan itu telah dimulakan sejak 2019 dengan beberapa program, namun terhenti akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan penularan Covid-19.
"Selepas itu, kami suarakan kepada pihak Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah dan diangkat ke pihak atasan.
"Setelah beberapa tahun perbincangan akhirnya kini menjadi platform kepada anak-anak muda menterjemahkan kreativiti masing-masing dalam menjana ekonomi," katanya.
Jelasnya, bertemakan kebudayaan, makanan dan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) serta gabungan idea dan kreativiti menjadikan lorong tersebut bukan sahaja meriah dengan pelbagai aktiviti menarik malah menjadi tumpuan ramai.
Ia turut menjadi platform kepada orang ramai bersantai sambil berbelanja memandangkan pelbagai jualan disediakan termasuk makanan, aksesori, pakaian, bunga segar dan pencuci mulut.
Terletak antara Jalan Dewa dan Jalan Patani, laluan pejalan kaki berbumbung sepanjang 60 meter itu kini dikenali Siar Seni SP dihiasi kilauan lampu dan perhiasan selain lukisan mural yang menarik perhatian.