KUALA KRAI - Taman tema air terbesar di Kelantan iaitu Krai Water Park dibuka secara rasminya kepada pengunjung bermula Isnin.
Terletak berhampiran Zoo Mini Kuala Krai, taman itu menyajikan pelbagai permainan dan kemudahan untuk pelbagai peringkat umur beroperasi seawal jam 10 pagi hingga 6 petang.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Hilmi Abdullah berkata, dibina di atas tanah seluas 0.76 hektar, taman tema air tersebut boleh memuatkan seramai 1,500 pengunjung dalam satu masa.
"Ia dilengkapi dengan kemudahan dua kolam utama, bilik rehat, surau serta kafe dan lain-lain lagi.
"Projek ini mengambil masa selama enam bulan untuk disiapkan sepenuhnya dan dengan adanya kemudahan tersebut ia menjadi tarikan utama orang ramai untuk datang ke Kuala Krai," katanya semasa merasmikan Majlis Perasmian Taman Tema Air, Krai Water Park di sini pada Ahad.
Hadir sama, Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman; Ketua Jajahan, Azi Rahimee Mohamed dan Setiausaha Majlis Daerah, Muhammad Zaidi Mat Jusoh.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guchil berkata, pembukaan taman tema ini bakal menjadi tarikan baharu ke jajahan Kuala Krai.
Ujarnya, pada masa sama ia turut merancakkan lagi perkembangan ekonomi dan sektor ekopelancongan di sini.
Hilmi berharap tawaran yang dikemukakan itu dapat menepati cita rasa peminat taman tema air di negeri ini.