ALOR SETAR - Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid menyifatkan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor terlampau 'koyak' berhubung isu rasuah RM6 juta melibatkan Persatuan Bola sepak Kedah (KFA).
Mahdzir berkata, sepatutnya Ketua Pengarah Pilihanraya Perikanan Nasional (PN) itu tidak terlalu emosi dan menyerahkan siasatan kepada pihak berkuasa.
"MB ini koyak kuat sangat, dia tak perlu emosi. Agensi kerajaan ini di zaman siapa jadi kerajaan pun bila sampai ke siasatan mereka akan buka fail untuk menyiasat.
"Sepatutnya bila disiasat MB katalah serah kepada pihak berkuasa, Perdana Menteri sendiri pun guna perkataan 'serah kepada pihak berkuasa untuk ambil tindakan'. Kalau ada kes adalah, kalau tiada, maka tiadalah," katanya ketika sidang media di Bangunan Tunku di sini pada Ahad.
Menurut Mahdzir, tindakan Sanusi melabelkan agensi penguatkuasaan dengan kata-kata tidak sopan juga tidak adil kepada agensi terlibat.
"Cara dia maki hamun dengan perkataan 'barua', saya ingat tidak adil untuk kakitangan kerajaan dan juga media.
"Saya pun simpati dengan rakan-rakan media," katanya.
Sebelum ini, Sanusi mengingatkan agensi penguatkuasaan agar tidak menjadi 'barua' (orang suruhan) kepada pihak yang memiliki kepentingan politik sehingga menzalimi orang yang tidak bersalah.
Beliau berkata, golongan berkenaan hanya menggunakan agensi awam untuk kepentingan peribadi dan memuaskan perasaan sendiri apabila ada yang tidak sealiran dengan mereka.
Pada 5 Januari lalu, empat individu termasuk ketua pegawai eksekutif (CEO) KFA ditahan reman selama tiga hari bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah bernilai lebih RM6 juta.