KUALA LANGAT - Sinar Karangkraf dan restoran makanan segera, Taco Bell Malaysia menyantuni komuniti setempat menerusi Program Keselamatan Bersama Pasukan Bomba di Taman Bentara 10, Telok Panglima Garang di sini pada Ahad.
Ketua Pemasaran dan Penjenamaan Grup Sinar Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin berkata, ia adalah aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) pertama yang dilaksanakan bersama rakan strategiknya, Taco Bell pada tahun ini di bawah Program Sinar Karangkraf Bersama Komuniti.
"Ini merupakan salah satu program CSR yang telah dirancangkan pihak kami bersama Taco Bell untuk menyantuni tiga segmen komuniti selama tiga hari berturut-turut melibatkan masyarakat seperti yang dilakukan hari ini, pihak media dan juga golongan pelajar institut pengajian tinggi (IPT).
"Objektif utama supaya dapat menguatkan ukhuwah antara masyarakat dengan pihak media dan juga memupuk semangat perpaduan," katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, Pengurus Operasi Taco Bell, Kamal Hashim berkata, sebanyak 1,300 pek makanan telah disumbangkan kepada penduduk setempat menerusi program berkenaan.
"Alhamdulillah, makanan sudah diagihkan kepada penduduk setempat dan ia melibatkan tiga cawangan untuk membuat persiapan penuh.
"Pihak kami juga akan terus bersama-sama dengan Sinar Karangkraf pada hari esok dan lusa untuk agihkan makanan kepada segmen komuniti lain pula," katanya.
Dalam pada itu, Penyelia Operasi Balai Bomba Teluk Panglima Garang, Mohd Hadhrami Rahman berkata, program itu berjaya memberi kesedaran dan pendedahan kepada penduduk berkaitan langkah awal sekiranya berlaku sebarang kecemasan.
"Program ini berjaya memberi pemahaman kepada penduduk kerana apabila kita minta melakukan demonstrasi untuk menggunakan alat pemadam api, mereka dapat lakukan dengan baik.
"Kami turut menggalakkan penduduk setempat menghantar wakil setiap persatuan bagi menyertai Bomba Komuniti untuk memudahkan kami memberi taklimat supaya mereka ini boleh bertindak dalam kes kecemasan sebelum anggota tiba di lokasi kejadian.
"Kami juga sangat galakkan dan berharap program seperti ini diadakan selalu dan kalau boleh dua kali setahun berkenaan dengan keselamatan diri," katanya.
Selain itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Bentara 10, Mohd Amin Mohd Ali memaklumkan, lebih 70 peratus penduduk yang terdiri daripada 44 keluarga menyertai program tersebut.
"Alhamdulillah, dapat sambutan yang amat menggalakkan walaupun ia adalah program pertama yang diadakan bersama dengan agensi kerajaan.
"Ia juga mendapat komunikasi dua hala dengan penduduk dan mungkin selepas ini kami cadang untuk membuat program bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkenaan pertolongan cemas.
"Jadi, semua penduduk ini mempunyai pengetahuan asas untuk bertindak apabila berlaku sesuatu kecemasan," katanya.