KUALA KRAI - Individu yang membuang sampah merata-rata di Kelantan bakal berdepan kompaun sehingga RM500 jika ditangkap anggota penguat kuasa bermula tahun ini.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, usaha itu adalah kaedah terbaik untuk memberi pengajaran dan mendidik individu supaya tidak berbuat demikian.
Menurut beliau, peraturan tersebut sebenarnya sudah termaktub dalam undang-undang kecil namun ia belum dilaksanakan.
"Nilai kompaun maksimum itu melibatkan kawasan yang dikategorikan sebagai Zon Bersih, Indah dan Ceria," katanya semasa merasmikan Majlis Perasmian Taman Tema Air, Krai Water Park di sini pada Ahad.
Hadir sama, Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman; Ketua Jajahan Kuala Krai, Azi Rahimee Mohamed dan Setiausaha Majlis Daerah, Muhammad Zaidi Mat Jusoh.
Beliau percaya jumlah yang degil dan melakukan kesalahan itu adalah sangat kecil.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guchil itu memberitahu, kempen Kelantanku Bersih selama dua penggal sudah dilaksanakan sebelum ini untuk memberikan kesedaran kepada rakyat.
Tambah beliau, melalui kempen itu rakyat sudah mengetahui hasrat kerajaan untuk membina negeri ke arah lebih bersih.
"Oleh itu, kita melihat sudah sampai masanya kompaun dikenakan kepada mereka (individu) yang masih lagi ingkar dengan membuang sampah merata-rata," katanya.