SEREMBAN - Tiga buah rumah musnah dalam kejadian kebakaran di Taman Jujur, Sikamat dekat sini pada Ahad.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seremban, Mohammad Idris berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 10.17 pagi sebelum sepasukan anggota penyelamat dikejarkan ke lokasi.
"Dua jentera dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seremban bersama satu unit tangki air, satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dibantu sebuah jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) BBP Ampangan dengan kekuatan 17 anggota ke lokasi.
"Terdapat tiga buah rumah dua tingkat jenis kluster yang berukuran 5.4 x 9.1 meter persegi terbakar," katanya pada Ahad.
Menurutnya, sebuah rumah tanpa penghuni terbakar 30 peratus di bahagian atas manakala lagi terbakar keseluruhan rumah sehingga 80 peratus.
"Penghuni di dua buah rumah yang terlibat pula berjaya menyelamatkan diri.
"Api kemudiannya berjaya dikawal jam 10.43 pagi dan padam sepenuhnya pada jam 12 tengah hari. Punca kejadian masih dalam siasatan," katanya.