KOTA BHARU - Persatuan komuniti dari Kelantan, Info Semasa Kubang Kerian (ISKK) mengambil inisiatif mengumpulkan 10,000 naskhah al-Quran untuk diberikan kepada mangsa bah merah di selatan Thailand Khamis lalu.
Pengerusi ISKK, Mohamad Afandi Mohamad berkata, al-Quran tersebut diberikan kepada pelajar-pelajar di sekolah-sekolah pondok dan juga penduduk setempat di daerah Yala, Narathiwat serta sekitarnya.
Menurutnya, keperluan naskhah-naskhah al-Quran oleh umat Islam di kawasan itu diketahui selepas menghantar bantuan makanan, baju, bantal dan tilam pada siri pertama agihan sebelumnya.
"Oleh sebab itu, untuk siri kedua ini kami fokus dan tidak menyangka berjaya mengumpulkan 10,000 serta sudah selamat disampaikan kepada penerima pada Khamis lalu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, pada Ahad.
Mengulas lanjut, Mohamad Afandi berkata, pengumpulan sumbangan al-Quran itu dilakukan selama seminggu melalui pengumuman yang dibuat di masjid-masjid di kawasan Kota Bharu termasuk Kubang Kerian dan Pengkalan Chepa.
"Ada yang menderma secara perseorangan dan ada melalui masjid-masjid seperti Masjid Gong Dermin, Bukit Marak, Pantai Cahaya Bulan, Kijang, Chekok, Kubang Kedian dan Kedai Lalat.
"Dari segi pengangkutan, kami mendapat sumbangan individu persendirian yang menyediakan dua treler selain kerjasama pihak berkuasa polis, imigresen dan kastam di kedua-dua negara bagi memudahkan urusan bantuan melalui sempadan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, keadaan banjir melanda negara itu menyebabkan banyak kemusnahan dan rumah penduduk hanyut selain sekolah-sekolah pondok roboh.
"Penduduk memberitahu banjir mendadak menenggelamkan rumah mereka dan apabila suruh, ada yang rosak bahkan roboh sepenuhnya.
"Terdapat sekolah-sekolah pondoh yang memerlukan pembinaan semula selepas strukturnya musnah dihanyutkan arus banjir,” katanya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, bah merah yang membadai pada hujung Disember lalu meragut nyawa, merosakkan harta benda penduduk malah menjejaskan 31 masjid di tiga daerah iaitu Rueso, Si Sakhon dan Sukhirin.
Lebih terkesan apabila banjir berserta lumpur itu menyebabkan kitab suci al-Quran rosak dan tidak dapat lagi digunakan.