JOHOR BAHRU – Dua sungai utama di Johor berada pada paras bahaya manakala satu pada paras amaran berdasarkan kepada bacaan aras air semasa setakat jam 7 petang pada Ahad.
Berdasarkan laporan daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Johor, kedua-dua sungai yang berada di paras bahaya melibatkan Sungai Muar di Jeti Kampung Tekam bagi daerah Segamat dan Sungai Kahang di Kampung Contoh bagi daerah Kluang sementara itu Sungai Muar di Buloh Kasap bagi daerah Segamat pula berada di tahap amaran.
Iklan
Iklan
"Sungai Muar di Jeti Kampung Tekam mencatatkan bacaan 3.20 meter (m) berbanding aras bahaya 3.00m manakala Sungai Kahang di Kampung Contoh, Kluang mencatatkan bacaan 14.62m berbanding aras bahaya 14.50m dan Sungai Muar di Buloh Kasap mencatatkan bacaan 8.90m berbanding aras bahaya 9.14m.
"Selain itu, Sungai Muar di Bukit Kepong berada di aras waspada dengan merekodkan bacaan 2.09m berbanding 3.30m dan Sungai Johor di Rantau Panjang dalam daerah Kota Tinggi merekodkan aras 8.01m berbanding aras bahaya 9.80m,” menurut laporan berkenaan.
Pada masa sama paras air semasa di Empangan Machap di Kluang berada pada tahap bahaya dengan mencatat 14.62m berbanding 14.50m pada aras bahaya dan 8.53m Labong berbanding 8.42.
Dalam pada itu, tiada amaran mengenai ribut petir atau hujan berterusan yang dikeluarkan oleh pihak Jabatan Meteorologi Malaysia (Met-Malaysia), dan cuaca pula diramalkan semakin baik di semua daerah di Johor.
Sementara itu, tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) masih beroperasi di lima daerah terjejas banjir melibatkan daerah Kota Tinggi, Mersing, Kluang, Segamat dan Batu Pahat yang menempatkan 482 penduduk daripada 130 keluarga.