Bayi cedera dipercayai digigit, polis akan panggil pengasuh

Iklan
Keadaan belakang badan seorang bayi lelaki yang mempunyai kesan gigitan. - Foto tular

KLUANG - Polis mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian seorang bayi lelaki berusia enam bulan yang cedera disyaki digigit oleh anak pengasuh seperti yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, semakan mendapati laporan polis telah dibuat ibu bayi itu pada jam 5.30 petang, Rabu lalu.

Iklan
Iklan

"Laporan dibuat wanita berkenaan mengenai kes anak yang berumur enam bulan mempunyai kesan gigitan di badan disyaki digigit oleh anak pengasuh yang berusia tiga tahun.

"Hasil siasatan, pengasuh merupakan seorang wanita tempatan berusia lingkungan 20-an telah dikenal pasti dan akan dirakam percakapan pada Isnin bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Iklan

Menurut Bahrin, kes tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh dihukum penjara boleh sampai 20 tahun dan denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sebelum itu, seorang wanita yang dipercayai ibu kepada bayi itu menerusi satu hantaran di Facebook pada Ahad tanpa mendedahkan lokasi rumah pengasuh berkongsi kejadian yang menimpa bayinya.

Iklan

"Hari pertama di rumah pengasuh berakhir dengan tragedi yang perit bagi aku dan anak-anak. Baby Luth yang baru enam bulan digigit oleh anak pengasuh.

"Lebih lapan gigitan sehingga terkoyak kulit berdarah di baju,” tulisnya.

Selain itu, seorang lagi anak lelakinya pula didakwa dilempang sehingga trauma.

"Abang Nuh pula kesan lempang berbirat jari orang dewasa di muka. Sampai sekarang abang Nuh masih trauma hingga demam-demam.

"Dia sendiri saksi nampak adik dia kena gigit...Doakan Luth dan Nuh cepat sembuh luka, demam dan trauma,” ujarnya tanpa menyatakan umur seorang lagi anaknya," tulisnya.