SHAH ALAM - Cadangan mewujudkan penggal tetap Parlimen mempunyai kebaikan dari sudut kelancaran sistem pilihan raya, namun ia tidak membawa maksud penggal tetap bagi Perdana Menteri.
Pensyarah di Pusat Polisi Perdana, Fakulti Teknologi dan Informatik Razak Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, Profesor Madya Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, sistem penggal tetap Perdana Menteri tidak mustahil untuk dilaksanakan, namun pelaksanaannya akan mewujudkan kepincangan dalam asas amalan demokrasi berparlimen.
Menurutnya, penggal tetap Parlimen dan penggal tetap Perdana Menteri adalah dua perkara yang berbeza.
"Penggal tetap Perdana Menteri ini pada umumnya boleh dilaksanakan dengan meminda peruntukan Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan, dan beberapa peruntukan undang-undang lain yang berkaitan.
"Perkara 43(4) Perlembagaan menetapkan bahawa jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri, melainkan jika atas permintaannya, Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam kenyataan di Facebook pada Ahad.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai kenyataan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkenaan kerajaan melalui Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) akan meneruskan kajian terperinci termasuk kajian impak dan mendapatkan pandangan orang awam berkenaan pengenalan Akta Parlimen Berpenggal Tetap.
Muhammad Fathi berkata, jika ingin menjadikan jawatan Perdana Menteri sebagai jawatan tetap, peruntukan itu perlu menyebut secara jelas bahawa seseorang Perdana Menteri yang dilantik akan terus memegang jawatannya sehingga tamat penggal Parlimen, melainkan jika beliau meletakkan jawatan.
"Namun pindaan kepada peruntukan ini belum memadai bagi menjamin kedudukan jawatan seseorang Perdana Menteri. Sebagai negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen, pada dasarnya kedudukan seseorang Perdana Menteri tetap terikat kepada kepercayaan majoriti anggota Dewan Rakyat.
"Bahkan pelantikan beliau juga berteraskan penilaian Yang di-Pertuan Agong berkaitan kepercayaan yang dimiliki dalam Dewan Rakyat.
"Jika seseorang Perdana Menteri hilang sokongan majoriti, maka dia dianggap memimpin sebuah kerajaan minoriti,” katanya
Jelasnya, dalam situasi ini Perdana Menteri terdedah kepada kesulitan untuk mentadbir secara lancar dan cekap kerana segala usul yang dikemukakan oleh kerajaan di Dewan Rakyat akan berdepan dengan risiko penolakan akibat tidak mendapat sokongan majoriti.
"Bagi usul yang penting seperti usul kelulusan belanjawan tahunan, penolakan oleh Dewan Rakyat akan melumpuhkan pentadbiran negara, yang akhirnya akan memaksa seseorang Perdana Menteri terpaksa meletakkan jawatan,” katanya.
Muhammad Fathi berkata, penggal tetap Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pula bermaksud menjadikan tempoh jangka hayat Parlimen dan DUN ditetapkan misalnya selama lima tahun dan tidak ada ruang untuk membolehkan pembubaran lebih awal dari itu.
"Bagi melaksanakannya, Perkara 55 (2) dan (3) Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda untuk menghapuskan kuasa membubar Parlimen lebih awal dari tempohnya iaitu lima tahun. Pindaan yang serupa juga wajar dibuat pada peringkat negeri-negeri bagi menjadikan DUN tamat pada tarikh dan tempoh yang sama dengan Parlimen.
"Kebaikan penggal tetap Parlimen ialah dapat mewujudkan kepastian dari sudut penjadualan pilihan raya. Idea ini telah lama diperkatakan kerana amalan pembubaran Parlimen atau DUN lebih awal dari tempoh lima tahun mendorong parti-parti politik memulakan kempen tidak rasmi terlalu awal dan pihak-pihak berkepentingan tertunggu-tunggu tarikh pilihan raya,” katanya.
Beliau berkata, perubahan kepada sistem penggal tetap Parlimen perlu disertakan dengan sistem pilihan raya umum serentak antara Parlimen dan semua DUN dengan jadual tetap bukan sahaja dapat mengendurkan budaya berpolitik yang berpanjangan, bahkan dapat menjimatkan kos pengendalian pilihan raya umum dan melegakan pihak-pihak yang terjejas akibat spekulasi tarikh pilihan raya.
"Bagi menyesuaikan dengan perancangan pembangunan berkala Rancangan Malaysia (RM) yang kebiasaannya mengikut penggal (01-05) dan penggal (06-10), tarikh pilihan raya umum seeloknya dibuat pada pertengahan tahun terakhir Rancangan Malaysia iaitu pada gandaan tahun (05) dan (10), misalnya tahun 2025 dan tahun 2030.
"Jika tarikh tetap pilihan raya umum ditentukan pada bulan Jun, kerajaan baharu mempunyai tempoh masa yang mencukupi untuk merangka perancangan lima tahun penggal pentadbirannya.
"Namun demikian, sistem penggal tetap Parlimen tidak semestinya bermaksud penggal yang tetap untuk Perdana Menteri. Penggal tetap Perdana Menteri sukar dilaksanakan kerana sistem demokrasi berparlimen berteraskan kepercayaan anggota Dewan Rakyat,” katanya.
Tambahnya, perubahan-perubahan yang dicadangkan tidak boleh dibuat melalui Akta Parlimen biasa, tetapi perlu dilakukan dengan pindaan Perlembagaan yang memerlukan undi dua pertiga anggota Dewan Rakyat.