Program bantu OKU peroleh pekerjaan perlu diperkasa

Iklan
Gambar hiasan. Foto 123RF, gambar kecil: Dr Hasnah Toran

SHAH ALAM - Kerajaan perlu memperkasakan program dan inisiatif sedia ada bagi membantu golongan belia Orang Kurang Upaya (OKU) dalam mendapatkan pekerjaan sekali gus meneruskan kelangsungan hidup pada masa akan datang.

Pensyarah di Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Hasnah Toran berkata, ia berikutan kebanyakan program yang dibangunkan oleh kerajaan terutamanya di bahagian khas pendidikan negara itu tidak dilengkapkan dengan panduan dan rujukan kepada guru-guru.

Iklan
Iklan

"Bila tidak ada panduan, guru-guru terpaksa fikir sendiri.

"Golongan pendidik ini boleh diberi ilmu yang lebih mantap, dibuka jalannya atau kita bantu guru-guru dari segi perhubungan agar hala tuju kerjaya belia-belia OKU lebih terjamin,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Selain itu, ujar Hasnah, jabatan kementerian dan agensi-agensi kerajaan juga perlu mencontohi inisiatif yang dilakukan oleh negara luar dalam membantu golongan belia OKU.

Iklan

"Di Singapura, mereka ada Pusat Kebolehkerjaan dan Pekerjaan (E2C) yang mana belia lepasan sekolah akan datang dan mereka akan bagi kaunseling macam mana hendak sambung belajar atau bekerja.

"Alhamdulillah, idea E2C itu kerajaan negeri Selangor sudah ambil dan mula buat tetapi dalam skala lebih kecil sebab mereka masih meneroka.

Iklan

"Jadi transisi ke kerjaya ini, program itu sudah ada di sekolah menengah, mungkin boleh diasah lagi,” ujarnya.

Sementara itu, menurutnya, golongan belia OKU yang ingin mendapatkan pendidikan lebih baik juga berdepan dengan pelbagai masalah termasuk dari segi kekangan peluang dan tenaga pengajar dalam negara.

"Jika kita lihat kolej-kolej komuniti di negara ini kebanyakannya menggunakan rumah-rumah kedai. Bukan semua sebab ada juga yang mempunyai bangunan.

"Kalau kata rumah kedai, ada golongan OKU yang menggunakan kerusi roda, jadi mereka sudah tidak boleh akses. Itu pun kita kena tengok dari segi itu,” menurutnya.

Ulasnya, meskipun kerajaan sudah pun membina Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan (PLPP) Bangi, Selangor dan bengkel daya, namun ia masih tidak mencukupi untuk membantu belia OKU.

"Contohnya, jika ada ibu bapa dari Bachok, Kelantan hendak hantar anak OKU mereka, seorang perempuan yang menaiki kerusi roda, adakah mereka sanggup pergi ke Bangi?

"Sebab terdapat ibu bapa yang lebih bimbang akan keselamatan anak mereka, jadi kesudahannya mereka tidak hantar anak itu untuk sambung belajar.

"Tetapi kalau kita dapat pastikan semua kolej komuniti ada kursus sesuai, ada kemudahan yang bagus untuk OKU, sudah pasti ibu bapa akan sedia dan tidak bimbang menghantar anak mereka sambung belajar,” katanya.