MEMAHAMI kehendak pelanggan serta mengutamakan kualiti jahitan adalah 'resepi' utama pemilik Amarru Jeans Repair, Mohd Shukri Amal, 56, kekal bertahan dalam kerjaya membaiki dan mengubah suai seluar jean, tanpa jemu sejak 38 tahun lepas.
Mohd Shukri yang mesra disapa 'Mat' oleh rakan-rakan dan pelanggan menjelaskan, kedua-dua faktor itu amat dititikberatkan kerana ia menjadi asbab pelanggan terus mempercayai hasil kerjanya.
"Bagi saya, 80 peratus adalah menepati kehendak pelanggan manakala 20 peratus lagi kepada kualiti jahitan (seluar) itu sendiri.
Bila kedua-duanya sukses, Insya-ALLAH pelanggan akan puas hati.
"Saya amat berpegang kepada kedua-dua perkara ini dan sejak buka kedai sehingga sekarang, jarang pelanggan datang semula ke kedai kerana tidak puas hati dengan hasil kerja saya," kata anak jati Teluk Intan itu ketika ditemui Bernama di kedainya, di Jalan Sultan Idris Shah, di sini.
Bercerita lanjut, Mohd Shukri berkata, pemilihan benang amat penting bagi memastikan jahitan tampak kemas dan bersesuaian dengan ira kain jean yang dibaiki.
Justeru, katanya, sebahagian daripada benang yang diguna pakai perlu diimport seperti dari Indonesia dan Jepun.
"Kebiasaannya, benang-benang ini digunakan pada seluar jean yang nilainya mencecah ribuan ringgit.
Kita juga gunakan mesin jahit khas untuk pastikan kualiti jahitan menyerupai jahitan asal seluar jeans tersebut," katanya.
Bapa kepada tiga cahaya mata itu berkata, kedai yang dibuka dari 11 pagi hingga 7 malam itu mampu menerima 15 hingga 20 tempahan setiap hari bagi pelbagai proses pembaikan jean mengikut cita rasa pelanggan.
"Kita tawarkan perkhidmatan seperti proses baiki keseluruhan struktur seluar sama ada ingin dikecilkan atau dibesarkan.
Kita juga buat proses tampalan, memotong, mengecilkan serta membesarkan kaki seluar.
"Harga yang dikenakan terhadap semua proses itu bermula dari RM7 hingga RM60 sehelai selain turut bergantung kepada jenama serta material kain jean tersebut," katanya.
Mengungkap permulaan kisah penglibatanya dalam kerjaya itu, Mohd Shukri berkata, minatnya mula berputik sewaktu berada di Tingkatan Empat apabila diminta membaiki seluar jean koyak milik seorang rakannya.
"Berbekalkan mesin jahit arwah mak, saya pun tolonglah baiki seluar jean itu tanpa sebarang upah.
Daripada situ, saya mula asah kemahiran (membaiki jean) tanpa mendapat latihan khusus.
"Saya belajar sendiri dengan cara buka dan pasang semula jahitan seluar jean berkali-kali hingga saya mahir.
Selepas tamat persekolahan, saya cuba nasib di Ipoh. Berbekalkan modal yang disimpan, saya nekad buka kedai (baiki jean) sehingga ke hari ini," katanya.
Mohd Shukri berkata, kebiasaannya jumlah pelanggan akan meningkat tiga hingga lima kali ganda menjelang musim perayaan seperti sambutan Aidilfitri.
Sementara itu, Badrul Hisham Baharom, 54, pelanggan tetap Amarru Jeans sejak 15 tahun lalu berkata, kualiti jahitan yang halus antara sebab beliau kekal setia sebagai pelanggan.
"Lagipun, dia (Mohd Shukri) memahami stail yang saya mahukan pada setiap seluar yang dihantar.
Kualiti jahitannya juga terbaik dan harga yang ditawarkan amat berpatutan," kata pegawai perhubungan awam sebuah syarikat perumahan tempatan itu. - Bernama