TAIPEI - Kotak hitam milik helikopter Taiwan yang terhempas dan mengorbankan ketua tentera negara itu telah ditemui, menurut Kementerian Pertahanan.
"Penyiasat menemukan perakam data penerbangan helikopter hari ini dan ia akan dianalisis untuk mengetahui punca nahas," katanya.
Ketua Turus Am, Shen Yi-ming bersama rombongannya yang sedang dalam perjalanan untuk misi rutin melawat tentera di timur laut negara sempena Tahun Baru terbunuh ketika bertugas.
Sejak semalam, bendera di semua unit ketenteraan telah dikibarkan separuh tiang.
ARTIKEL BERKAITAN: Jeneral tentera hilang selepas helikopter mendarat cemas
Lapan maut helikopter tentera terhempas di Taiwan
Semalam, helikopter UH-60M membawa 13 individu hilang dari radar kira-kira 15 minit selepas berlepas sebelum dilaporkan terhempas di kawasan pergunungan di daerah Yilan.
Lima orang ditemui selamat dalam nahas itu.
"Insiden tersebut adalah kehilangan besar buat negara. Kita sedang berduka tetapi kita tidak boleh terus bersedih demi keselamatan negara," kata Presiden Tsai Ing-wen.
Susulan kejadian itu, Taiwan telah menghalang penerbangan lebih 50 helikopter Black Hawk dalam perkhidmatan tentera dan kerajaan bagi tujuan pemeriksaan keselamatan. - AFP