KOTA BHARU - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) mempergiatkan usaha mengurangkan peranan ‘orang tengah’ atau peraih bagi memastikan harga sayur-sayuran dan buahan-buahan stabil.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Fama, Abd Rahman Mahmood berkata, usaha itu dilakukan dengan merancakkan Program Khidmat Pemasaran Ladang Kontrak (KPLK) di seluruh negara yang kini mempunyai 3,232 peserta.
Katanya, KPLK yang juga projek pengeluaran tersebut akan memberi fokus kepada aspek pemasaran yang menghubungkan petani secara terus dengan pasaran, usahawan Fama atau swasta.
"Misalnya di RTC Tunjong yang akan menjadi platform untuk mengurangkan lapisan ‘orang tengah’ sekali gus menjadikan harga sayur-sayuran dan buah-buahan munasabah,” katanya pada sidang akhbar selepas Jelajah Mesra di Program Jualan Agro Madani di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong, di sini, pada Isnin.
Turut hadir, Pengarah Fama Kelantan, Wan Faizatul Aniza Ismayatim.
Abd Rahman mengulas lanjut, Fama akan terus memastikan pengguna dan usahawan mendapat pulangan yang berpatutan daripada program itu sejajar dengan objektif bagi memberi faedah sebanyak mungkin.
Menurut beliau, peserta-peserta program berdaftar pada program ini disasarkan meningkat 1,000 setiap tahun.
"Program akan memberi kemudahan dan impak yang besar kepada pengguna termasuk mengurangkan kos sara hidup di bawah komponen makanan segar.
"Selain Fama agensi-agensi lain juga melakukan perkara sama memperluaskan lagi program ini bagi memberi jaminan penyaluran hasil pertanian segar ke pasaran secara berterusan,” ujarnya.