KOTA BHARU - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) menyasarkan sejumlah 7.2 juta isi rumah akan mendapat manfaat daripada 5,000 program Jualan Agro Madani 2024 di seluruh negara.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) FAMA, Abd Rahman Mahmood berkata, sasaran itu lebih tinggi berbanding 6.4 juta yang ditetapkan pada tahun lalu.
Menurutnya, pada 2023, Fama berjaya memberi manfaat kepada 10.5 juta pengguna atau 164 peratus berbanding sasaran melalui 5,721 program Jualan Agro Madani yang diadakan di seluruh negara.
"Inisiatif program juga akan memberi manfaat kepada 7.2 juta isi rumah dengan nilai penjimatan dianggarkan berjumlah RM17.25 juta,” katanya pada sidang akhbar selepas Jelajah Mesra di Program Jualan Agro Madani di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong, di sini pada Isnin.
Turut hadir, Pengarah Fama Kelantan, Wan Faizatul Aniza Ismayatim.
Kata Abd Rahman, pada tahun ini, Fama mengambil pendekatan dengan memperluas pelaksanaan program di outlet-outlet peruncitan Fama di seluruh negara, antaranya pasar tani, pasar tani kekal dan Agrobazaar.
Menurut beliau, program memfokuskan kepada penawaran produk makanan asas utama seperti ayam, ikan, daging, sayur-sayuran, buah-buahan, barang kawalan dan runcit selain beras.
"Keutamaan pelaksanaan program ialah di kawasan pinggiran bandar dan luar bandar dengan pecahan kluster lokasi termasuk kompleks kerajaan, kawasan perumahan berkepadatan tinggi dan outlet peruncitan FAMA.
"Program ini akan meningkatkan kebolehcapaian dan ketersediaan bagi memudahkan pengguna mendapatkan bekalan makanan pada kadar harga yang munasabah sekali gus mengurangkan kos sara hidup,” katanya.