Tak sempat seludup 1,190 kilogram minyak masak peket

Iklan
Penyeludup minyak masak bersubsidi berjaya dicekup selepas Perodua Alza dinaiki gagal membuat pusingan U di persimpangan lampu isyarat Kampung Dangar, di Pasir Mas pada Ahad.

PASIR MAS - Penyeludup minyak masak bersubsidi berjaya dicekup selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza yang dinaiki gagal membuat pusingan U di persimpangan lampu isyarat Kampung Dangar, di sini pada Ahad.

Tangkapan jam 6.45 petang itu dilakukan oleh anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan semasa mengadakan Ops Bersepadu Pencegahan Ketirisan Barang Kawalan di sempadan negara sekitar Pasir Mas.

Iklan
Iklan

Pengarahnya, Azman Ismail berkata, sejurus menyedari diekori anggota penguat kuasa, penyeludup bertindak meloloskan diri.

"Bagaimanapun salah seorang lelaki yang berada di tempat duduk penumpang secara melulu melarikan diri semasa kenderaan melakukan pusingan U.

Iklan

"Kenderaan tersebut kemudian tersangkut di pembahagi jalan disebuah persimpangan lampu isyarat dan anggota penguat kuasa berjaya menahan pemandunya" katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan yang dilakukan ke atas kenderaan terbabit membawa kepada penemuan 1,190 kilogram minyak masak peket bersubsidi.

Iklan

Ujarnya, minyak masak bersubsidi tersebut disita di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Azman memberitahu, terdahulu daripada maklumat risikan, suspek dari arah Lemal melalui jejambat ke Pasir Mas dipercayai akan membawa muatan minyak masak bersubsidi tersebut ke tempat transit sementara.

"Seterusnya (muatan tersebut) akan dibawa ke pangkalan haram di Sungai Golok untuk diseludup ke negara jiran," katanya.

Azman berkata, suspek berusia lingkungan 20-an ditahan bagi membantu siasatan.