Jemaah dari Brunei turut sertai kemeriahan Subuh di MTJ

Iklan
Ruangan utama masjid yang dipenuhi jemaah untuk menunaikan solat Subuh di Masjid Temerloh Jaya (MTJ) yang kini dikenali Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

TEMERLOH - Masjid Temerloh Jaya (MTJ) yang kini dikenali Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah terus konsisten apabila ruangan utama masjid kekal dipenuhi dengan jemaah setiap kali solat Subuh.

Usaha dan kempen dijalankan berterusan oleh masjid itu sejak 2016 mampu menarik sehingga 600 jemaah pada satu-satu masa setiap kali Subuh malah pada hujung minggu, jemaah turut memenuhi hingga di luar ruangan luar masjid.

Iklan
Iklan

Dengan kempen yang kini rancak dijalankan, 'Subuh seperti Jumaat', masjid itu kini turut menarik ramai jemaah termasuk dari luar negara hingga ada yang datang dari jauh seperti Brunei semata-mata untuk merasai sendiri suasana meriah setiap kali Subuh.

Tinjauan Sinar Harian pada Sabtu menyaksikan jemaah mula datang seawal jam 5.30 pagi dan makin ramai bila menghampiri waktu Subuh.

Iklan

Usai solat, jemaah dapat menimba ilmu melalui kuliah Subuh yang didengarkan, selain turut dihidangkan sarapan pagi sebelum pulang ke rumah masing-masing.

Paling menarik, kehadiran jemaah bukan terdiri daripada warga emas dan golongan dewasa semata-mata, sebaliknya remaja dan kanak-kanak turut seiring bersama menunaikan kewajiban mereka selain kaum wanita turut tidak ketinggalan.

Iklan

Pengerusi MTJ, Dr Abdullah Ismail memuji usaha baik penganjuran kempen itu yang digerakkan oleh selebriti terkenal, Alif Satar dalam mengimarahkan masjid pada waktu Subuh.

Dr Abdullah Ismail

Menurutnya, usaha tersebut wajar disokong dan dicontohi oleh umat Islam di negara ini.

"Oleh itu kita selalu menerima kehadiran pelbagai pihak masjid seluruh negara setiap minggu sebagai lawatan penanda aras dan ada yang berkongsi mereka masih gagal menarik kehadiran masyarakat ke masjid.

"Jadi, saya selalu tekankan salahkan diri kita dulu kerana bentuk kempen dibuat tidak efektif, mesej tidak sampai kepada mereka (masyarakat).

"Apabila kempen dibuat artis, Alif Satar di pelbagai media sosial sepenuhnya, tak kira apa platform, ia didengari dan dibaca orang ramai menyebabkan banyak masjid dipenuhi pada waktu subuh," katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, pihaknya di MTJ telah menjalankan kempen besar-besaran sejak 2016 dengan menggunakan pelbagai kaedah seperti pengedaran risalah, pengumuman pada solat Jumaat serta memanfaatkan media sosial sepenuhnya dengan pelantikan pegawai khas untuk mempromosikan agenda masjid tersebut.

Tambahnya, masjid itu juga tidak meminggirkan golongan kanak-kanak dan remaja untuk memastikan ia turut mendapat perhatian golongan terbabit ke masjid khususnya pada waktu Subuh.

MTJ yang kini terkenal dan sering menerima kunjungan pelbagai pihak seluruh negara

"Jadi saya lihat, usaha itu perlu diteruskan dan dipergiatkan selain pihak masjid mengambil pelbagai langkah lain untuk memastikan kelestarian serta situasi ini berterusan, bukan ikut musim," tegasnya.

Sementara itu, seorang pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Temerloh, Mohamad Umar Muaz Mohd Badri, 11, berkata, dia datang bersama bapanya menunaikan solat Subuh di masjid tersebut setiap hari.

Mengakui tidak menerima paksaan daripada mana-mana pihak, anak ketiga daripada empat beradik itu memulakan rutin itu sejak tahun lepas hingga kini.

"Saya tergerak hati dan ingin bersama solat berjemaah pada Subuh di masjid ini," tambahnya yang bercita-cita menjadi seorang guru.

Seorang pesara polis, Johari Hanafiah, 66, turut memuji usaha kempen yang kini sedang giat dijalankan di seluruh negara dan memberitahu tidak ketinggalan untuk datang setiap hari kecuali jika cuaca tidak mengizinkan.

Masjid terkenal dengan tagline 'Masjid TJ, Masjid Kita' menelan belanja kos kira-kira RM5 juta mula dibina pada 2006 dan beroperasi pada Julai 2010 dengan keluasan kira-kira 1.2 hektar itu boleh memenuhi hingga 800 jemaah pada satu-satu masa.