Seleweng kutipan zakat: Siasatan diteruskan sehingga selesai

Iklan
Pasangan yang bertindak sebagai ejen kutipan zakat itu telah dibebaskan dengan jaminan bon mahkamah pada Isnin.

IPOH - Siasatan terhadap suami isteri berhubung kes penyelewengan kutipan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) berjumlah RM9.62 juta masih diteruskan.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, kertas siasatan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu dalam proses untuk dilengkapkan dan akan dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

Iklan
Iklan

"Siasatan masih lagi diteruskan terhadap kedua-dua suspek sehingga selesai.

"Setakat ini tiada saksi lain yang dipanggil bagi membantu siasatan kes itu," katanya ketika dihubungi pemberita pada Isnin.

Iklan

Media melaporkan, pasangan yang bertindak sebagai ejen kutipan zakat itu telah dibebaskan dengan jaminan bon mahkamah pada Isnin.

Majistret Farah Nabihah Muhamad Dan membenarkan permohonan polis untuk membebaskan lelaki berusia 50 tahun dan wanita 53 tahun itu dengan jaminan bon sebanyak RM50,000 seorang di bawah Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah.

Iklan

Pasangan berkenaan sebelum ini direman selama 10 hari bermula 6 Januari lalu.

Sinar Harian melaporkan kedua-dua individu tersebut ditangkap oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman dan JSJK Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sebuah lokasi di Kuala Lumpur selepas menerima laporan daripada MAIPk.

Siasatan awal mendapati suspek menjalankan transaksi kutipan menerusi dalam talian dan dipercayai gagal mendepositkan zakat bermula Mac hingga September 2023.