Tiga sahabat dituduh rompak ayam sabung guna pistol, pedang

Iklan
Muhammad Shafie (dua dari kiri), Mohd Ariffadilan (tengah) dan Mohd Zurmi (dua dari kanan) dikawal ketat polis menuju ke lokap Mahkamah Kota Bharu.

KOTA BHARU - Tiga sahabat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini pada Isnin atas pertuduhan melakukan rompakan bersenjatakan pistol dan pedang ke atas seorang lelaki serta melarikan enam ayam sabung, November tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Shafie Mukhtar, 31; Mohd Ariffadilan Ismail, 38, dan Mohd Zurmi Mat Hassan, 44, yang bekerja sebagai buruh binaan bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dikemukakan di hadapan Hakim, Nooriah Osman.

Iklan
Iklan

Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa dengan niat bersama melakukan rompak berkumpulan bersenjata pistol dan pedang ke atas Muhamad Faris Norhalim, 24, dan melarikan enam ayam milik mangsa pada jam 11.30 malam, 18 November tahun lalu.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 kanun yang sama.

Iklan

Sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalnaa Zainal Abidin dan Muhammad Shafie diwakili peguam Mohd Khairul Azwan Azhan manakala dua lagi tertuduh tidak ada peguam.

Iklan

Pada prosiding itu, Abu Arsalnaa tidak menawarkan jaminan namun kesemua mereka memohon untuk dibenarkan jamin dalam jumlah yang rendah.

Nooriah kemudian membenarkan tertuduh-tertuduh diikat jamin sejumlah RM25,000 setiap seorang dengan syarat perlu lapor diri di balai polis Nilam Puri setiap satu hari bulan dan tidak mengganggu saksi.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 15 Februari ini.

Kesemua tertuduh tidak membayar ikat jamin itu.