KUALA NERUS - Seekor ular sawa dianggarkan seberat 120 kilogram dengan panjang kira-kira 6 meter ditemukan berlingkar di dalam parit berhampiran kediaman penduduk di Kampung Gong Awang Lib, di sini malam Ahad.
Ular yang dipercayai telah membaham beberapa ekor lembu termasuk kucing peliharaan penduduk itu berjaya ditangkap anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) sekitar jam 8.30 malam.
Seorang penduduk, Mohd Fazrie Mohamad Fauzi, 35, berkata, dia segera menghubungi anggota keselamatan sebaik terjumpa ular berkenaan.
"Saya tidak berani bertindak sendiri memandangkan saiz ular yang besar, jadi saya memanggil penduduk kampung yang lain sebelum menghubungi pihak APM," katanya.
Menurut Mohd Fazrie, dia pernah kehilangan seekor anak lembu disyaki dibaham ular berkenaan pada Disember tahun lalu.
"Bila dah dapat tangkap ular ni kita semua lega sebab kita yakin ia ular sama yang baham anak lembu dan ternakan penduduk kampung," ujarnya.
Sementara itu, Pegawai Operasi APM Daerah Kuala Terengganu/ Kuala Nerus, Leftenan Muda (PA) Norulhaida Md Rashid berkata, seramai lapan anggota APM dikejarkan ke lokasi berkenaan sebaik menerima panggilan.
"Kita ambil masa kira-kira setengah jam untuk menangkap reptilia berkenaan memandangkan anggota kita berdepan beberapa kesukaran.
"Ia disebabkan saiz ular yang besar dan panjang serta ular berkenaan amat agresif. Syukurlah ia berjaya ditangkap dan diserahkan kepada pihak Perhilitan Terengganu untuk tindakan lanjut," ujarnya.