SHAH ALAM - Satu institusi bebas atau Kursi Pengajian Kewartawanan A Samad Ismail perlu diwujudkan sebagai usaha memartabatkan profesion wartawan di negara ini.
Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam berpandangan, selain meningkatkan kualiti bidang itu, cadangan tersebut sebagai memperingati tokoh kewartawanan dan pejuang negara, Allahyarham Tan Sri A Samad Ismail atau Pak Samad yang meninggal dunia pada 4 September 2008.
Menurut beliau, kursi itu boleh dikendalikan oleh institusi pengajian tinggi seperti Universiti Teknologi Mara (UiTM) ekoran Pak Samad pernah terlibat sebagai tenaga pengajar ketika di awal penubuhan subjek Kajian Sebaran Am.
"Kursi tersebut mampu melanjutkan usaha dan semangat Tan Sri A Samad Ismail dalam memartabatkan kewartawanan negara.
"Dengan situasi negara yang sangat memerlukan tokoh-tokoh wartawan berkualiti dan bertanggungjawab, kualiti yang diperlukan termasuklah kejujuran prinsip, amanah khususnya dalam perkara yang boleh dikaitkan dengan isu rasuah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Simposium Memperingati Tan Sri A Samad Ismail: Wartawan, Cendekiawan Awam, Negarawan, di sini pada Isnin.
Dalam pada itu, Musa turut memberi peringatan bahawa peranan kursi itu perlu dioptimumkan agar tidak wujud sekadar 'mengenang jasa'.
Ujarnya, ia harus dilakukan dengan serius selain memerlukan sokongan pelbagai pihak.
"Kalau nak buat cadangan ini, janganlah ia jadi (seperti) satu institusi yang ditubuh selepas kita teringat jasa mereka dan akhirnya ia dilupakan. Macam hangat-hangat tahi ayam.
"Saya setuju namanya diukir sebagai seorang wartawan yang terkenal, tetapi yang dibahaskan adalah kemungkinan institusi itu ditubuhkan di bawah naungan universiti atau kerajaan.
"Ini bukan konsep baharu untuk mengenang budi seseorang dan ia harus diberi sokongan bukan sahaja oleh kerajaan tetapi undang-undang tertentu," jelasnya.