Sorok syabu RM19 juta dalam hutan simpan

Iklan
Kamarudin (tengah) pada sidang akhbar pada Isnin berhubung kejayaan merampas syabu bernilai RM19 juta di hutan simpan di Padang Besar.

KANGAR - Polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah melalui rampasan sebanyak 528 kilogram (kg) syabu bernilai RM19 juta di kawasan Hutan Simpan Persekutuan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) di Padang Besar pada Rabu lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Kamarudin Md Din berkata, ia susulan penahanan seorang lelaki berusia 35 tahun di sebuah rumah di kawasan Hutan Simpan Persekutuan FRIM di Jalan Tasoh-Kaki Bukit-Padang Besar.

Iklan
Iklan

Menurutnya, hasil siasatan lanjut juga telah membawa kepada penahanan tiga lagi lelaki berusia antara 21 hingga 42 tahun di lokasi kejadian yang disyaki mempunyai kaitan dengan kes berkenaan, sekali gus mendedahkan tempat penyimpanan sejumlah besar dadah di dalam hutan tersebut.

"Hasil pemeriksaan di tempat penyimpanan tersebut menjumpai 20 guni dipercayai di dalamnya terdapat 480 bungkusan plastik teh China disyaki dadah methamphetamine yang diletakkan di dalam troli besi yang ditutup oleh ranting dan daun," katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Perlis di sini pada Isnin.

Iklan

Kamarudin berkata, syabu tersebut dipercayai diperoleh dari negara jiran dan dibawa masuk melalui ‘laluan tikus’ di sempadan Malaysia-Thailand yang hanya berada sekitar tiga kilometer (km) dari hutan simpan.

Menurutnya, polis sedang menyiasat sama ada terdapat pembabitan kakitangan penyelia kawasan hutan berkenaan kerana kawasan tersebut di bawah tanggungjawab pihak terbabit.

Iklan

"Kita masih lagi menjalankan siasatan, suspek masih lagi dalam soal siasat dan kita akan melihat kesemua perkara-perkara ini untuk kita kenal pasti ada lagi individu-individu lain yang secara langsung ataupun tidak langsung dalam aktiviti ini ataupun yang melindungi aktiviti ini," ujar beliau lagi.

Tambahnya, sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak setahun lalu dan menggunakan laluan Hutan Simpan Persekutuan FRIM itu sebagai transit untuk membawa bekalan syabu itu.

Bekalan syabu tersebut dipercayai diedarkan dan dipasarkan di keseluruhan kawasan Pantai Barat Semenanjung Malaysia yang mana boleh digunakan seramai 2.6 juta orang penagih dadah.

Kamarudin berkata lagi, saringan awal air kencing suspek mendapati mereka positif dadah jenis ketamine dan syabu dan suspek juga mempunyai pelbagai rekod lampau bersabit kes jenayah dan dadah.

"Suspek direman selama tujuh hari bermula 10 dan 11 Januari lalu dan dijangka disambung reman mereka bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," jelas beliau.