Tak puas hati ayam goreng kunyit RM20 sepinggan di Langkawi

Iklan
Gambar resit ayam goreng kunyit berharga RM20 yang dimuat naik seorang pengguna di Facebook.

LANGKAWI - Seorang pelanggan yang mengunjungi sebuah kedai makanan di Pantai Chenang melahirkan rasa tidak puas hati apabila dikenakan caj RM20 untuk hidangan sepinggan ayam goreng kunyit.

Pengadu yang dikenali sebagai Hada Jais memuat naik resit berkenaan di laman sosial miliknya kerana menyifatkan harga tersebut terlalu mahal.

Iklan
Iklan

Pengadu turut memaklumkan, dia terpaksa membayar RM24 untuk keseluruhan hidangan dipesannya, iaitu sepinggan ayam goreng kunyit (RM20) sepinggan nasi putih berharga RM3 dan air kosong (RM1).

"Patutlah orang luaq (luar) kata Langkawi mahai (mahal), hampa (anda) rasa berbaloi ke kena harga macam ni?

Iklan

"Nasi putih RM3, ayam goreng kunyit bodoh saja seorang makan RM20, ais kosong RM1,” tulisnya dalam hantaran di Facebook yang tular sejak Ahad.

Pengadu turut berpesan kepada orang ramai agar berhati-hati dan tidak mengalami nasib sepertinya.

Iklan

"Tu gambaq (gambar) kedai aku dah snap (ambil) tengoklah kat mana area Chenang, jangan hampa (anda) terkena sudah," katanya.

Dalam pada itu, pengadu terbabit meminta agar netizen tidak mengecamnya kerana membuat hantaran tersebut di media sosial gara-gara tidak berpuas hati dengan harga dikenakan.

Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah, Affendi Rajini Kanth berkata, tindakan telah diambil terhadap pemilik kedai makan tersebut selepas anggota penguatkuasaan KPDN menjalankan pemeriksaan.

"Satu Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dikeluarkan kepada pemilik kedai makan bagi mendapatkan maklumat penyediaan kesemua menu yang dipesan pengadu.

"Pemilik diberikan tempoh dua hari bekerja untuk menjawab notis tersebut,” katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Menurutnya lagi, siasatan mendapati buku menu di kedai berkenaan memaparkan harga bagi sepinggan ayam goreng kunyit adalah RM20.

"Pelanggan dinasihati supaya menyemak harga terlebih dahulu sebelum membuat pesanan.

"Sebagai pengguna anda berhak untuk mendapatkan maklumat,” ujarnya.

Affendi memaklumkan, hasil pemeriksaan tanda harga di premis terbabit mendapati sebanyak 10 buku menu disediakan untuk pelanggan.

"Premis berkenaan dibuka enam hari seminggu, bermula 10 pagi sehingga 10 malam dan kebanyakan pelanggan di situ merupakan pelancong luar negara.

"Kita turut mengambil resit bayaran oleh pengadu pada hari kejadian untuk siasatan lanjut,” jelasnya.

Sementara itu katanya, pengadu bagaimanapun gagal dihubungi bagi mendapatkan maklumat lengkap berkaitan aduan apabila panggilan telefon tidak dijawab.