PEMAIN perseorangan wanita negara, K Letshanaa tidak akan mensia-siakan peluang seandainya dijadual berdepan pemain handalan dunia dalam siri Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) bagi mengukur tahap sebenar prestasinya.
Bagaimanapun, Juara Cabaran Antarabangsa Uganda 2023 itu menyedari ia bukan tugas mudah sekiranya diundi bertemu mereka seawal pusingan pertama sepanjang tempoh kelayakan Sukan Olimpik 2024 berlangsung sehingga April ini.
Beliau berkata, kejohanan Thailand Masters dari 31 Januari hingga 5 Februari ini merupakan medan pertama baginya mempamerkan keupayaan musim ini namun perlu melepasi peringkat kelayakan terlebih dahulu ketika menentang Ines Lucia Castillo Salazar dari Peru sekiranya berhasrat beraksi dalam undian utama.
"Sejak berlangsung kelayakan Olimpik, setiap kejohanan adalah sangat sukar dengan kehadiran kelompok 20 pemain terbaik dunia. Ia sangat sukar untuk mara ke suku akhir atau separuh akhir tetapi saya harap melakukan kejutan.
"Saya mahu mencabar pemain handalan dan mengukur standard permainan dengan mereka,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Letshanaa turut mengakui rejim latihan diterapkan ketua jurulatih perseorangan wanita negara, K Yogendran semenjak mengemudi pasukan pertengahan tahun lepas banyak memperbaiki strategi serta corak permainan ditampilkan ketika bertemu lawan mereka.
Justeru, pemain ranking ke-60 dunia itu memasang impian besar untuk memperbaiki kedudukan dengan menempatkan diri dalam kelompok 40 terbaik dunia terutamanya apabila kini bebas daripada sebarang kecederaan.
"Saya juga teruja untuk memulakan tahun ini tanpa kecederaan. Saya mahu menikmatinya tanpa banyak tekanan kerana saya mahu memberikan yang terbaik terlebih dahulu dan melihat apa hasilnya,” katanya.
Letshanaa sebelum ini pernah meninggalkan pasukan kebangsaan pada Februari 2022 susulan kecederaan belakang yang dialaminya sebelum kembali menyertai Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada Februari 2023.
Sementara itu, Yogendran memaklumkan pihaknya akan menghantar pemain perseorangan wanita menyertai sebanyak mungkin kejohanan tahun ini bagi membolehkan mereka mendapat pengalaman baharu namun mengakui sedikit sukar apabila ranking anak buahnya tidak mencukupi dalam tempoh kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024.
"Saya ada empat pemain di bawah jagaan sekarang iaitu Letshanaa, Wong Ling Ching, Siti Nurshuhaini Azman dan seorang pemain junior. Saya boleh nampak tahap kualiti mereka meningkat tetapi untuk memastikan mereka sentiasa memperbaiki diri, mereka kena keluar bertanding dalam kejohanan,” katanya. - Bernama