TEMERLOH - Seorang pembantu kedai buntu selepas segala barangan dan stok perniagaan bernilai kira-kira RM10,000 musnah akibat kebakaran di Kampung Bachap di sini pada Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, Nur Zaini Mat Nor, 34, dan keluarganya kini tinggal sehelai sepinggang selepas rumah yang didiami mereka musnah 100 peratus.
Menurutnya, perancangan untuk kembali berniaga sate kini terbantut selepas segala peralatan dan stok sate sejuk beku tidak dapat diselamatkan.
"Saya akan berhenti kerja pada hujung bulan ini sebab ingin kembali berniaga sate.
"Tapi dengan situasi sekarang memang tak dapat buat lagi dan terpaksa cari serta kumpul modal semula," katanya nilai kerugian keseluruhan dianggarkan RM100,000 akibat kebakaran tersebut.
Ujarnya, ketika kejadian, dia berada di tempat kerja manakala suaminya keluar ke rumah keluarga.
Jelasnya, ketika kejadian hanya ibunya, Rasiah Kadir, 64, dan dua anak lelakinya berusia 11 dan sembilan tahun berada di rumah.
"Ibu saya berehat di luar rumah manakala anak-anak bermain di belakang rumah bersama rakan-rakan mereka.
"Kebakaran hanya disedari oleh anak saya yang segera memberitahu ibu dan jiran-jiran," tambahnya beberapa kenderaan seperti motosikal dan kereta sempat diselamatkan oleh penduduk kampung.
Jelasnya, ketika menerima panggilan daripada jiran mengenai kejadian itu, dia pada mulanya menganggap ia adalah gurauan.
"Bila dimaklumkan rumah terbakar, terus saya terfikir anak-anak dan ibu, syukur mereka semua selamat walaupun rumah keluarga kini sudah tiada lagi," katanya buat sementara waktu mereka tinggal di rumah sewa milik kakaknya.
Orang ramai yang ingin membantu untuk meringankan beban keluarga ini boleh menyalurkan sumbangan mereka ke dalam akaun Maybank (156057556033) atas nama Rasiah Kadir.