WALAUPUN para pemain badminton negara menampilkan prestasi hambar pada Terbuka Malaysia 2024 yang berakhir semalam, kesemua pihak dituntut agar tidak meragui keupayaan mereka terutamanya menjelang Sukan Olimpik 2024 di Paris, Julai ini.
Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, keputusan mengecewakan di laman sendiri membuka mata pihaknya untuk membuat persediaan lebih rapi dengan misi utama seterusnya lebih menjurus kepada membantu pemain negara mencapai kemuncak prestasi pada Paris 2024.
Mohamad Norza yang juga Pengerusi Bersama Road to Gold (RTG) berkata, perkara itu termasuk mengadakan perbincangan bersama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh serta Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia, Rexy Mainaky berhubung langkah merapatkan jurang dengan jaguh dunia lain terutamanya sebelum ke Sukan Olimpik 2024, dijadual berlangsung dari 26 Julai-11 Ogos ini.
"Hakikatnya, bila kita lakukan penganjuran bertaraf dunia seperti ini timbul kekecewaan bukan sahaja kita (BAM), namun para peminat juga bahawa buat tahun kedua berturut-turut tiada seorang pun wakil di separuh akhir dan akhir.
"Bagaimanapun, bagi saya secara keseluruhan kekecewaan itu lebih kepada status kita sebagai hos, namun dari segi pencapaian, jangan anggap mereka gagal, kita harus beri semua sokongan,” katanya.
Mengulas mengenai persembahan secara individu pemain di bawah BAM, beliau berkata, beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tetap menampilkan aksi memuaskan, namun tuah mungkin tidak memihak kepada mereka untuk melepasi peringkat suku akhir selepas tumpas kepada juara dunia Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae dari Korea Selatan 21-16, 18-21, 13-21.
"Bagi Aaron dan Wooi Yik, mereka ini antara gandingan lima terbaik di dunia.
"Pada bila-bila masa, mereka yang berada dalam kelompok lima terbaik boleh mengalahkan satu sama lain, cuma apa yang menentukan pada hari pertandingan ialah nasib, mental atau persediaan mereka,” katanya.
Bagi beregu wanita nombor satu negara, Pearly Tan-MThinaah pula, keputusan dilakar mereka juga tidak begitu menghampakan memandangkan mereka berjaya memberi tentangan sengit kepada pasangan China, Liu Sheng Shu-Tan Ning sebelum tumpas pada pusingan pertama, 20-22, 15-21.
"Pearly baru sahaja (pulih) daripada kecederaan, namun mereka tetapi beri saingan sengit kepada pasangan China yang jadi juara (Terbuka Malaysia 2024).
"Sebelum Pearly cedera, mereka ada keupayaan main dalam tempoh panjang, saya rasa mereka berada pada kedudukan itu, hanya perlu kuatkan fizikal bagi memastikan mereka mempunyai kecergasan yang mantap dan mampu bertahan lama di gelanggang,” katanya.
Sheng Shu-Tan Ning yang turun selaku pilihan kelapan mengejutkan pilihan kelima dan rakan senegara, Zhang Shu Xian-Zheng Yu 21-18, 21-18, untuk meraih gelaran sulung Super 1000, di sini.
Mengenai aksi beregu campuran utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, Mohamad Norza berkata, biarpun mempunyai kualiti setaraf pasangan 10 terbaik dunia, mereka masih belum mencapai tahap kematangan serta dibelenggu perasaan gugup ketika beraksi di gelanggang.
Tang Jie-Ee Wei ditunjuk jalan keluar pada pusingan kedua oleh beregu Jepun, Hiroki Midorikawa-Natsu Saito, 22-24, 14-21.
Beliau juga mengambil maklum bahawa pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong, turut memerlukan masa untuk menguatkan fizikalnya biarpun menarik diri sewaktu ketinggalan 8-12 kepada pemain Jepun, Koki Watanabe pada pusingan pembukaan susulan kecederaan belakang.
Sementara itu, Presiden Majlis Olimpik Malaysia itu berkata legenda badminton negara Datuk Lee Chong Wei berhak menegur segelintir pemain negara yang bercuti rehat menjelang Terbuka Malaysia 2024.
Katanya, beliau menghormati pandangan disuarakan Chong Wei memandangkan figura berkenaan pernah merasai jerih perih menjadi seorang atlet serta pengorbanan terpaksa ditempuhinya sehingga berjaya menjadi antara pemain paling berjaya di dunia sebelum ini.
Baru-baru ini, media melaporkan bekas pemain nombor satu dunia itu merumuskan kegagalan pemain kebangsaan di Terbuka Malaysia adalah tidak melakukan persiapan terbaik bagi menghadapi kejohanan pembuka tirai musim 2024.
Malah, pemenang tiga kali pingat perak Sukan Olimpik itu turut mempersoalkan tindakan beberapa pemain yang bercuti di luar negara ketika sambutan Hari Krismas meskipun menyedari Terbuka Malaysia akan bermula pada 9 Januari. - Bernama