Fenomena selebriti ikut 'nyaleg'

Iklan
Dari kiri atas: Krisdayanti (PDI-P), Denny Cagur (PDI-P), Uya Kuya (PAN) manakala dari kiri bawah: Melly Goeslaw (Gerindra), Arumi Bachsin (Demokrat), dan Ahmad Dhani (Gerindra) bakal caleg pada Pemilu 2024. Foto Agensi

JAKARTA - Artis ini pernah bergelar rock star yang mempunyai jutaan peminat di Indonesia dan Malaysia.

Kini, beliau berhasrat untuk terjun ke dunia politik demi untuk membentuk masa depan negara.

Iklan
Iklan

Elfonda Mekel atau lebih dikenali sebagai Once merupakan bekas vokalis utama salah sebuah kumpulan paling popular, Dewa antara kira-kira 80 selebriti yang mahu menggunakan populariti mereka untuk merebut kerusi Parlimen pada Pemilihan Umum (Pemilu) pada 14 Februari depan.

"Saya percaya dapat menyumbang untuk pembangunan negara ini," katanya yang bertanding di Jakarta di bawah Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P).

Iklan

Jelas Once, beliau mahu memfokuskan isu seperti kemiskinan, pengangguran, penjagaan kesihatan dan bantuan sosial yang sering diabaikan pemerintah.

"Saya tidak bersetuju dengan mentaliti sesetengah pihak yang berpendapat penyertaan kami hanya bergantung kepada populariti," ujarnya.

Iklan

Parti politik di Indonesia sudah sekian lama 'merekrut' wajar glamor untuk meningkatkan peluang bagi meraih kemenangan pada proses demokrasi penting itu.

Tetapi, kadar kejayaan golongan selebriti yang ikut 'nyaleg' atau bertanding sebagai calon legislatif (caleg) agak kurang memuaskan.

Sebagai contoh, pada Pemilu 2014, seramai 18 daripada 23 berjaya merebut kerusi Parlimen manakala hanya 14 daripada 80 selebriti menang pada 2019.

Penyertaan calon dalam kalangan selebriti turut menjadi fenomena global seperti aktor Arnold Schwarzenegger di California, Amerika Syarikat (AS) hingga Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy.

Parti utamakan pragmatisme?

Di Jakarta, ia sudah menjadi fenomena biasa apabila parti-parti politik cuba mempengaruhi undi dengan kemasyhuran golongan selebriti.

"Ia merupakan langkah strategik memandangkan mereka sudah mempunyai peminat tersendiri dan dikenali ramai.

Sebuah jejantas di Jakarta Pusat meriah dengan 'perang bendera' parti yang bertanding pada Pemilu 2024. Foto Agensi

"Selain itu, mereka juga mempunyai sumber kewangan untuk membiayai kempen sendiri, sekali gus menawarkan jalan pintas kepada parti politik yang menghadapi kekangan bajet," kata penganalisis politik di Badan Riset dan Inovasi Nasional (BRIN), Wasisto Raharjo Djati.

Terdapat beberapa selebriti yang sudah membuktikan diri mereka sebagai ahli politik berkebolehan seperti Rieke Diah Pitaloka, Dede Yusuf dan Nurul Arifin.

Bekas aktres, Rieke dari Bekasi, Jawa Barat kini menjadi ahli Parlimen kanan PDI-P yang menyokong pentadbiran dua penggal, Presiden Joko Widodo atau Jokowi.

Sementara itu, bekas model dan pelakon, Dede pernah memegang pelbagai jawatan politik selama lebih sedekad.

Bekas aktor dan model, Nurul yang dilantik Timbalan Pengerusi Parti Golkar pula menyokong calon presiden (capres) No. Siri Dua, Prabowo Subianto pada Pilihan Raya Presiden (Pilpres 2024).

Penganalisis di Centre for Strategic and International Studies (CSIS), Arya Fernandes berpendapat tidak semua selebriti mempunyai minat yang mendalam untuk menceburi bidang politik.

"Beberapa pemerhati telah menyuarakan kebimbangan dengan penyertaan selebriti yang kurang berpengalaman dalam hal ehwal awam yang berisiko menjejaskan kualiti dan kredibiliti badan perundangan

"Ada parti yang lebih mengutamakan pragmatisme berbanding kecekapan apabila mereka memilih wajah popular sebagai calon. Hal itu boleh memberi kesan kepada prestasi Parlimen," jelasnya.

Anang Hermansyah yang menjadi tumpuan lebih tiga dekad pernah meraih kemenangan di bawah Parti Amanat Nasional (PAN) di Jawa Timur pada 2014, namun tidak bertanding semula pada 2019.

Menjelang Pemilu Legislatif 2024, bekas suami Krisdayanti itu telah meninggalkan PAN dan bersedia membuat kemunculan semula dalam dunia politik.

Pada kali ini, beliau akan bertanding di Jawa Barat sebagai caleg PDI-P.

Kertas undi yang siap dilipat oleh staf dimasukkan ke dalam kotak menjelang Pemilu pada 14 Februari depan. Foto AFP

"Penduduk di sana memerlukan infrastruktur kesihatan, jalan raya, pendidikan dan jaringan keselamatan sosial. Oleh itu, saya mahu menyelesaikan masalah mereka," ujarnya.

Pengacara TV, Muhammad Farhan juga bakal bertanding buat kali kedua sebagai calon Parti NasDem (Nasional Demokrat) di Jawa Barat.

"Saya mahu memastikan kebebasan pendapat di media. Saya percaya dengan kesaksamaan sosioekonomi. Politik adalah salah satu cara untuk menyediakan peluang yang adil kepada semua orang dapat hidup sejahtera.

"Kebebasan bersuara masih belum terjamin 100 peratus," katanya lagi.

Pemilu dijangka sengit pada kali ini turut disertai selebriti terkenal seperti Krisdayanti, Melly Goeslaw, Marcell Siahaan dan Ahmad Dhani. - Agensi