Dr Lim Hock San dilantik semula sebagai Pengerusi Eksekutif Kumpulan MGB Berhad

Iklan
LIM HOCK SAN
SHAH ALAM - Syarikat hartanah, MGB Berhad (MGB) melantik semula Tan Sri Ir Dr Lim Hock San sebagai Pengerusi Eksekutif Kumpulan mulai hari ini.

Pelantikan semula itu dibuat oleh Ahli Lembaga Pengarah selepas persaraan Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif, Datuk Abdul Majit Ahmad Khan, yang tamat tempoh perkhidmatannya pada hari ini.

Sebagai Pengerusi Eksekutif Kumpulan,Hock San akan mempengerusikan lembaga pengarah, manakala Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Wira Joey Lim Hock Guan dan Pengarah Eksekutif & Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Richard Lim Lit Chek akan terus menerajui MGB dengan portfolio masing-masing.

Selain daripada peranan beliau di MGB, Hock San turut menyandang jawatan sebagai Pengerusi Eksekutif Kumpulan LBS Bina Group Berhad (LBS).

Mengulas mengenai pelantikan itu, Hock San berterima kasih kepada lembaga pengarah di atas kepercayaan mereka dan pelantikan itu merupakan satu penghormatan untuk menerajui MGB sebagai Pengerusi Eksekutif Kumpulan.

Iklan
Iklan
Iklan
Iklan


"Tahun ini pasukan pengurusan telah berjaya membawa MGB lebih maju ke hadapan setelah melalui beberapa tahun yang mencabar dalam industri pembinaan.

"Dengan prestasi suku tahunan yang kukuh dari suku pertama sehingga ke FY2023, dan pemeteraian usaha sama antarabangsa pertama kami bersama Sany Alameriah Industrial di Kerajaan Arab Saudi, MGB telah beroleh beberapa pencapaian penting dalam pertumbuhan Syarikat,”katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Menurutnya, bagi permulaan tahun 2024, MGB akan mengambil langkah untuk terus berhati-hati dan bersikap optimistik terhadap faktor ekonomi yang mempengaruhi dunia dan negara, sekali gus untuk terus mengintai peluang dan meningkatkan mutu perkhidmatan.

"Kami akan meningkatkan lagi mutu perkhidmatan melalui pengalaman, inovasi, pendigitalan dan kemajuan teknologi, seperti produk Konkrit Pratuang Sistem Binaan Berindustri (IBS).

"Strategi ini digubal bagi memastikan agar MGB terus kekal berdaya saing dan diterima di mana-mana ruang perniagaan,”katanya.