Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan 2024 sasar 10,000 pengunjung

Iklan
Syed Saleh (dua dari kiri) dan Harun KC Ahmmu (dua dari kanan) bergambar pada Majlis Prapelancaran Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan 2024

KUALA LUMPUR - Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan 2024 kali kedua yang akan berlangsung selama tiga hari bermula 19 hingga 21 Januari ini di Hotel Movenpick KLIA, Sepang dijangka menarik 10,000 pengunjung.

Pengarah Eksekutif Haji, Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, program itu diadakan sebagai salah satu usaha untuk mempromosikan pakej haji yang disediakan oleh 25 syarikat berdaftar di bawah lesen Pengelola Jemaah Haji (PJH).

Iklan
Iklan

"Penekanan akan diberikan terhadap pendidikan dan penerangan kepada orang ramai mengenai tawaran yang disediakan oleh PJH," katanya ketika sidang akhbar pada Majlis Prapelancaran Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan 2024, pada Isnin.

Turut hadir, Presiden Bumitra Malaysia, Harun KC Ahmmu; Setiausaha Agung Kehormat Bumitra, Ab Rahman Mohd Ali; Ketua Bahagian Agensi TH, Anuar Ahmad dan tetamu kehormat lain.

Iklan

Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan 2024 adalah anjuran bersama Lembaga Tabung Haji (TH) serta Persatuan Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra Malaysia).

Tambah Syed Saleh, individu yang terpilih untuk menunaikan haji diingatkan supaya memilih syarikat yang berdaftar di bawah TH bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku seperti kes penipuan.

Syed Saleh

Iklan

Ujarnya, menerusi karnival itu bakal haji berpeluang untuk menilai kesemua pakej yang ditawarkan oleh 25 syarikat di bawah PJH dan membuat keputusan tepat mengikut kemampuan serta kehendak masing-masing.

"Bakal jemaah haji akan menerima surat tawaran daripada TH dalam masa terdekat dan mereka mempunyai ruang untuk membuat pilihan serta mendaftarkan diri dengan PJH selewat-lewatnya akhir Syaaban ini.

"Pihak kami meminta PJH untuk mengadakan pakej Rahmah seperti tahun lepas dan mereka menyambut baik usaha tersebut dengan menawarkan harga maksimum RM50,000 mengikut kemampuan syarikat masing-masing.

"Bagaimanapun, tawaran itu terhad kepada jumlah yang ditetapkan oleh PJH sendiri tertakluk kepada beberapa aspek seperti penerbangan, hotel, makanan dan bayaran perkhidmatan lain di Tanah Suci," jelasnya.

Mengulas lanjut mengenai kos haji, Syed Saleh berkata, setiap tahun ia akan meningkat disebabkan oleh pergerakan mata wang asing, Cukai Nilai Tambah (VAT) yang diperkenalkan oleh kerajaan Arab Saudi dan beberapa faktor lain.

Tambah beliau, perkara itu akan memberi impak kepada TH kerana ia berada di luar kawalan pihaknya.