HASRAT skuad negara untuk memulakan kempen Piala Asia dengan keputusan positif tidak kesampaian apabila tunduk kepada Jordan 0-4 dalam aksi pembukaan Kumpulan E di Stadium Al-Janoub pada awal pagi Selasa.
Harimau Malaya tampak bergelut untuk menyesuaikan diri dalam penampilan pertama mereka secara merit sejak 43 tahun di pentas tertinggi Asia itu dengan beberapa gerakan yang mahu direncanakan mudah digagalkan pasukan Jordan yang berada di ranking ke-87 dunia.
Sebaliknya, skuad The Chivalrous Ones jelas selesa mendominasi perlawanan melalui serangan balas pantas untuk mendahului tiga gol dalam tempoh 45 minit pertama perlawanan.
Jordan membuka tirai jaringan menerusi gol jarak jauh Mahmoud Almardi pada minit ke-12 yang gagal diselamatkan Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.
Dua minit kemudian, Jordan menggandakan kedudukan selepas dihadiahkan sepakan penalti apabila pertahanan negara, Matthew Davies menjatuhkan Yazan Al-Naimat.
Musa Al-Taamari yang beraksi untuk Liga Perancis, Ligue 1, Montpellier mudah menewaskan Ahmad Syihan untuk gol kedua pasukan.
Minit ke-32, Mahmoud yang juga bekas import Kedah menambah derita skuad negara melalui gol kedua peribadinya memanfaatkan hantaran Naimat dalam kotak penalti.
Bersambung separuh masa kedua, corak permainan skuad negara tidak banyak berubah dan masih kerap kehilangan bola di bahagian tengah menyaksikan sukar untuk jentera hadapan melakukan serangan.
10 minit terakhir perlawanan barulah ada ancaman daripada skuad negara menerusi dua percubaan daripada pemain gantian Paulo Josue dan Safawi Rasid yang diselamatkan Yazid Abu Layla.
Jordan yang melakukan penampilan kelima di Piala Asia pada edisi kali ini nyata terlalu unggul untuk Harimau Malaya apabila Musa meledak gol keempat pasukan pada minit ke-85.
Selepas ini, skuad negara akan berdepan Bahrain pada Sabtu dan menutup aksi kumpulan menentang Korea Selatan lima hari kemudian.