Felcra tiada kuasa lulus pelaburan saham, kata saksi

Iklan
Bung Moktar dan Zizie Izette beredar dari Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selepas perbicaraan hari kedua selesai semalam.

KUALA LUMPUR - Seorang saksi memberitahu Mahkamah Sesyen di sini semalam bahawa Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra Berhad) tidak mempunyai kuasa untuk membuat kelulusan pelaburan berkaitan bidang saham dan perlu mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD), sekiranya ada.

Bekas Pengurus Besar Pelaburan Felcra, Adnan Yusof, 60, berkata, Ahli Lembaga Pengarah syarikat itu tidak boleh membuat sebarang keputusan untuk mana-mana kategori pelaburan saham tanpa kelulusan MKD kerana pelaburan Felcra hanya dihadkan dalam bidang berkaitan perniagaan utamanya iaitu perladangan dan pengilangan sahaja.

Iklan
Iklan

"Pelaburan dalam negeri melebihi RM125 juta perlu mendapat kelulusan Lembaga Pengarah dan perakuan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (ketika itu).

"Bagi pelaburan luar negara sama ada secara usahasama bersama pihak lain ataupun persendirian, Felcra perlu mendapat kelulusan Kementerian Kewangan,” katanya.

Iklan

Saksi pendakwaan kedua itu berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Fadhly Mohd Zamry pada hari kedua perbicaraan kes rasuah Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya yang juga seorang pelakon, Datin Seri Zizie Ezette A Samad.

Adnan yang pernah memegang jawatan sebagai Pengurus Setiausaha Syarikat Felcra dari 1998 hingga 2014 berkata, perkara berkaitan kuasa kelulusan itu boleh dirujuk dalam Surat Kementerian Kewangan bertarikh 18 Mac 2014 bertajuk Peningkatan Had Kuasa Lembaga Pengarah Untuk Meluluskan Pelaburan Berkaitan Core Business FELCRA Berhad yang berada dalam simpanannya ketika itu.

Iklan

Saksi itu turut mengesahkan pelantikan Bung Moktar sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra pada 17 Julai 2013.

"Tempoh perkhidmatan beliau adalah selama tiga tahun bermula 17 Julai 2013 sehingga 16 Julai 2016 dan disertakan dengan terma dan syarat perkhidmatan sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif.

"Pengerusi Felcra Berhad adalah Pengerusi Bukan Eksekutif yang dilantik oleh MKD dan dibayar elaun bulanan dan elaun menghadiri mesyuarat seperti yang ditetapkan oleh badan itu,” katanya.

Menjawab soalan tambahan daripada Mohamad Fadhly sekiranya terdapat perbezaan tugas bagi Pengerusi Bukan Eksekutif dan Pengerusi Eksekutif, Adnan menjawab ‘ya.’

Ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya Roslan Mat Nor sekiranya matlamat Felcra iaitu untuk menyatukan dan memulihkan kembali tanah-tanah terbiar selepas badan itu dikorporatkan pada 1997, saksi itu menjawab ‘ya.’

Roslan: Boleh kamu terangkan perbezaan Felcra sebelum dan selepas dikorporatkan?

Adnan: Felcra adalah badan kerajaan yang tidak dibenarkan berurus niaga namun selepas dikorporatkan, Felcra boleh menjana pendapatan sendiri dan meningkatkan produktiviti selain tidak lagi menjadi bebanan perbelanjaan kerajaan.

Roslan: Adakah peranan lembaga pengarah syarikat juga berbeza selepas dikorporatkan?

Adnan: Sebelum dikorporatkan, Felcra bertanggungjawab kepada kerajaan dan menjawab kepada Parlimen tetapi selepas dikorporatkan kesemuanya menjadi tanggungjawab lembaga pengarah.

Pada prosiding semalam, Bung Moktar mengekalkan pengakuan tidak bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan yang dihadapinya.

Mengikut pertuduhan pertama, Bung Moktar, 60, yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra, didakwa memperoleh suapan iaitu wang tunai RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual, Madhi Abdul Hamid, 38, melalui isterinya Zizie Ezette.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu sebagai dorongan bagi mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II untuk Felcra membuat pelaburan sebanyak RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati, Jalan Bandar 12, Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang pada 12 Jun 2015.

Bagi pertuduhan kedua, Bung Moktar didakwa memperoleh suapan iaitu wang tunai RM262,500 daripada individu sama melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund (PITGF) yang didaftarkan atas nama Zizie Ezette.

Bung Moktar juga dituduh memperoleh wang tunai berjumlah RM337,500 daripada ejen pelaburan Public Mutual, Norhaili Ahmad Mokhtar, 42, melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) yang didaftarkan atas nama Zizie Ezette.​​​​​​​

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi sama pada 12.16 tengah hari dan 12.28 tengah hari pada 19 Jun 2015 dan semua pertuduhan mengikut Subseksyen 17(a) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Zizie Ezette, 41, mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 24(1) akta sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Rozina Ayob bersambung 10 Januari ini.