Tun Faisal, Mahathir dilantik Badan Pimpinan Bersatu Wilayah Persekutuan

Iklan
Tun Faisal (kiri) dan Mahathir.

KUALA LUMPUR - Bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz dan Ketua Penerangan Perikatan Nasional Wilayah Persekutuan, Mahathir Md Rais dilantik menjadi Ahli Jawatankuasa Badan Pimpinan Negeri, Bersatu Wilayah Persekutuan berkuatkuasa pada Isnin.

Bersatu Wilayah Persekutuan dalam satu kenyataan memaklumkan lantikan baharu itu dibuat susulan pelantikan Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin sebagai Ketua Badan Pimpinan Negeri Wilayah Persekutuan bagi menggantikan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman pada November lalu.

Iklan
Iklan

"Mesyuarat berkenaan yang berlangsung pada Isnin telah sebulat suara bersetuju dengan lantikan jawatankuasa baharu bagi menguatkan struktur kepimpinan peringkat tertinggi Bersatu Wilayah Persekutuan,” kata kenyataan itu pada Selasa.

Menurut kenyataan itu, Bersatu telah melantik barisan baru melibatkan Timbalan Ketua, Mohd Badrul Ezan; Setiausaha, Mahathir Md Rais dan Bendahari, Zamzuri Muhammad manakala bagi jawatan Ketua Penerangan, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz

Iklan

"Dengan kepelbagaian latar belakang, profesion dan pengalaman, barisan Ahli Jawatankuasa Badan Pimpinan yang baru dilantik, Bersatu Wilayah Persekutuan berazam menjadi salah satu platform politik untuk warga kota serta bersama-sama mendepani cabaran semasa pentas politik negara.

"Dasar Parti Bersatu akan menjadi teras dalam setiap agenda dan gerak kerja ahli jawatankuasa baharu yang telah dilantik,” kata kenyataan itu.

Iklan

Tambah kenyataan itu, personaliti dan kredibiliti Mohd Radzi yang mesra masyarakat dan mudah didekati mampu memberi imej serta nafas baharu kepada Bersatu serta warga kota berdasarkan pengalaman luas beliau sebagai bekas Menteri Pendidikan Malaysia.