SHAH ALAM - Usahawan muda yang dilahirkan melalui Program Tunas Niaga (PROTUNe) 2023 di bawah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) telah berjaya merekodkan jumlah pendapatan lebih RM2.48 juta dalam tempoh 10 bulan tahun lalu.
Kejayaan itu dinyatakan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan & Keusahawanan) PKNS, Suhaimi Kasdon, yang mana seramai 1,225 pelajar dan 98 guru pembimbing dari 49 sekolah menengah telah terpilih menyertai program tersebut yang bermula pada 8 Mac 2023 hingga 10 Januari 2024.
Sepanjang tempoh itu katanya, peserta PROTUNe 2023 diberikan bimbingan serta latihan meliputi pelbagai modul antaranya Kursus Training of Trainers, Kursus Ahli Perniagaan Syarikat Program Tunas Niaga, Bengkel Penyediaan Laporan dan Pembubaran Syarikat.
"Melihat daripada kejayaan ini, PKNS akan terus melaksanakan inisiatif PROTUNe bagi merancakkan dunia keusahawanan dalam kalangan masyarakat terutama pelajar sekolah.
"Usaha ini penting bagi mendedahkan golongan berkenaan mengenai selok-belok dunia perniagaan dan keusahawanan selain bagaimana untuk menjalan serta menguruskannya dengan betul,” katanya semasa Majlis Konvensyen PROTUNe 2023 di Bangunan Ibu Pejabat PKNS, di sini pada Rabu.
Semangat
Tambah Suhaimi, berdasarkan penelitian pihaknya, peserta PROTUNe 2023 yang terdiri daripada golongan muda berupaya menunjukkan semangat keusahawanan yang tinggi dan tidak gentar berhadapan dengan cabaran.
Pada masa sama, PROTUNe 2023 telah mengetengahkan 10 kategori anugerah peringkat negeri Selangor iaitu Anugerah Harapan PROTUNe/E-PROTUNe, Anugerah Perkhidmatan Terbaik, Anugerah Produk Kreatif Terbaik, Anugerah Produk Inovasi Terbaik, Anugerah Laporan Kewangan Terbaik, Anugerah Ketua Pegawai Eksekutif Terbaik, Anugerah Guru Pembimbing Terbaik, Anugerah Persembahan Terbaik, Anugerah Sekolah Terbaik dan Anugerah Syarikat Terbaik.
Piala pusingan Anugerah Syarikat Terbaik akan diteruskan sempena meraikan ulang tahun ke-25 pelaksanaan PROTUNe peringkat negeri Selangor. Pada tahun 2023, Anugerah Syarikat Terbaik berjaya dimenangi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Gading, Sungai Buloh.
Dorongan
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan PKNS terhadap para usahawan muda yang telah berjaya menamatkan program PROTUNe 2023, sekali gus memberi dorongan kepada mereka menceburkan diri dalam bidang keusahawanan.
Katanya, sejak PROTUNe diwujudkan pada tahun 1998, program itu telah merekodkan penyertaan 29,300 orang pelajar dan 2,344 guru pembimbing membabitkan 1,152 syarikat.
Dalam tempoh 25 tahun tersebut, sebanyak RM28.89 juta telah diperoleh daripada hasil jualan meliputi perniagaan makanan dan minuman, kraftangan, pakaian, perkhidmatan fotografi, dobi, katering dan sebagainya.
"PROTUNe juga memberi peluang kepada peserta untuk mengikuti kursus-kursus keusahawanan dan Karnival Usahawan PKNS (KUP) dengan memberi nilai tambah kepada peserta PROTUNe berkaitan perjalanan syarikat, latihan keusahawanan dan perniagaan secara praktikal,” jelas beliau.
SMK Bukit Gading pertahan Anugerah Syarikat Terbaik
SHAH ALAM - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Gading dinobat pemenang Anugerah Syarikat Terbaik pada Konvensyen Program Tunas Niaga (PROTUNe) 2023.
Sekolah berkenaan berjaya mempertahankan kemenangan dua tahun berturut-turut menewaskan Sekolah Menengah Agama (SMA) Persekutuan Kajang dan SMK Ungku Aziz, masing-masing menduduki di tempat kedua dan ketiga.
Ketua Guru Pembimbing SMK Bukit Gading, Nor Azliani Razalli berkata, sebanyak enam daripada 10 anugerah berjaya dibawa pulang pihaknya pada Konvensyen PROTUNe kali ini.
Menurutnya, kejayaan itu hasil usaha dan komitmen guru serta pelajar selain sokongan pentadbir sekolah yang banyak menyokong operasi syarikat.
"Kami jalankan produk makanan yang menjadi kegemaran pelajar dan kebab menjadi pilihan utama selain menu lain termasuk roti bakar dan sate.
"Jualan harian kami pernah mencecah RM2,000 sehari dan tahun ini kami berjaya mencatat jualan keseluruhan RM150,000," katanya.
Sementara itu, Johan Anugerah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Terbaik, Muhammad Haikal Hazim Nor Mohd Safian dari SMA Persekutuan Kajang berkata, dia bersyukur dinobatkan sebagai johan kategori itu selain gembira dapat menewaskan SMK Bukit Gading yang merupakan pemenang konvensyen lalu.
"Saya sangat terkejut sewaktu diumumkan sebagai pemenang. Sebelum ini, guru ada letak sasaran untuk saya anugerah ini. Namun mengikut konvensyen lalu, kemenangan di dominasi SMK Bukit Gading.
"Ini merupakan saingan besar dan Alhamdulillah, saya dapat juga terima anugerah ini, menumpaskan juara terdahulu," katanya yang merupakan CEO syarikat Irsul Najmi Sdn Bhd.
Katanya, PROTUNe banyak memberi pendedahan dalam aspek kepimpinan mengemudi sebuah syarikat dan memantau kualiti produk yang dipasarkan.
Malah, program tersebut turut meningkatkan budaya keusahawanan antara pelajar selain membentuk karakter proaktif dalam pemasaran jualan dan mencari pelanggan.
Sementara itu, Johan Anugerah Guru Pembimbing Terbaik, Zulhakim Munjari dari SMK Ungku Aziz berkata, PROTUNe yang disertainya sejak 2021 itu berjaya membimbing dan mengiktiraf para pelajar sekolah dalam bidang keusahawanan.
" Ini adalah kejayaan semua yang mana kami bergerak daripada zero to something. Program ini baik kerana membimbing anak-anak untuk belajar perniagaan dari teori kepada praktikal,” ujarnya.