Pacak bendera putih gara-gara tiada air?

Iklan
Seorang pengguna media sosial memuat naik hantaran pada Isnin mendakwa tidak mendapat bekalan air dan terpaksa mandi menggunakan air hujan.

KUALA TERENGGANU - Tindakan seorang pengguna media sosial memuat naik hantaran memberitahu terpaksa memacak bendera putih di pekarangan rumahnya di Jalan Haji Samad, Kampung Raja, Besut kerana mendakwa sukar mendapatkan bekalan air menimbulkan tanda tanya.

Berdasarkan hantaran itu, tindakan tersebut dilakukan berikutan masalah gangguan bekalan air tidak berjadual yang dialami akibat insiden paip pecah yang berlaku di dasar Sungai Besut berhampiran jambatan Kampung Lampu sejak 1 Januari lalu.

Iklan
Iklan

Menerusi hantaran sama, pemilik akaun Facebook bernama Mohd Rashid Mohamad Ibrahim mendakwa, sudah beberapa kali memberitahu bantuan air tidak sampai di Jalan Haji Samad, Kampung Raja di Besut.

"Dalam dua hari ni rasa nak menangis ada, nak menyumpah pun ada. Tapi duk ingat kalu sumpah pun tak jadi apa. Bantuan air tak sampai-sampai, nya (dia) buat tak nampak rumah kita, macam kena sihir.

Iklan

"Bila gi (pergi) bgtau (beritahu) kat (di) dataran lmbgn (Limbongan), manis mulut janji akan hantar air. Kita pasang bendera pasang lampu supaya mudah demo (awak) nampak.. janji hanya janji," tulisnya.

Sementara itu, Exco Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar, Hanafiah Mat berkata, pihaknya telah menyelidik hantaran tersebut dan tiada individu yang dikatakan memasang bendera putih kerana tidak mendapat bekalan air.

Iklan

Menurutnya, beliau percaya hantaran itu dibuat oleh 'tangan ghaib' kerana kerja-kerja bekalan air dari rumah ke rumah berjalan mengikut jadual.

Jelas beliau, pihaknya turut mengesan individu yang memuat naik hantaran terbabit namun tiada yang mengaku.

"Bekalan air dari rumah ke rumah berjalan dengan baik cuma kita tak nafikan ada berlaku kelewatan. Selain disebabkan faktor banyak rumah yang perlu dibekalkan air, kelewatan berlaku ketika pertukaran syif.

"Bila tukar syif ada yang perlu berehat. Tapi tak lah sampai sehari ada yang tak dapat langsung bekalan air.

"Kita ada 1,200 sukarelawan yang bekerja sehingga jam 4 pagi setiap hari di mana bekalan air tu kita beri keutamaan kepada orang sakit, orang tua yang tidak boleh bergerak keluar rumah untuk mendapatkan air di lokasi yang disediakan," katanya.

Penduduk di beberapa kawasan di Besut mengalami masalah gangguan bekalan berpunca daripada kebocoran paip bersaiz 600 mm di dasar Sungai Besut menyebabkan berlaku gangguan air dijangka bermula 1 sehingga 21 Januari.

Masalah bekalan air yang berlaku selama 21 hari itu menjejaskan 11 buah kampung di sekitar Besut yang melibatkan sebanyak 2,670 akaun pengguna.

Difahamkan, status kerja-kerja pemasangan dan pembaikan paip bersaiz 600 milimeter (mm) di dasar sungai Besut telah lebih 30 peratus dan dijangka siap dalam tempoh tujuh hingga 10 hari lagi.

Sebelum ini, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, penduduk mengalami masalah bekalan air tidak perlu khuatir dan bimbang kerana kerajaan akan mengambil langkah terbaik dalam mengatasi masalah itu.

Sebagai inisiatif, penduduk di kawasan terjejas terpaksa mendapatkan bekalan air dari enam buah lori tangki air dan 49 buah tangki statik yang disediakan Syarikat Air Terengganu (SATU).