Padah tampar lengan doktor

Iklan
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Seorang kontraktor dijatuhi hukuman penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret Ampang di sini, hari ini kerana menampar lengan kiri seorang doktor wanita ketika cuba menenangkan lelaki itu semasa proses mengambil darah anaknya di Hospital Ampang, di sini.

Majistret Haslinda A. Raof menjatuhkan hukuman itu ke atas Shafudin Sulong, 40, selepas dia mengaku bersalah dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap seorang doktor wanita berusia 32 tahun di Bilik 1, Zon Hijau Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Ampang, pada 3.20 pagi, 6 Januari lalu.

Iklan
Iklan

Mahkamah memerintahkan bapa anak satu itu menjalani hukuman penjara tersebut bermula hari ini.

Pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

Iklan

Terdahulu, Shafudin yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah mengenakan hukuman denda ke atasnya dengan alasan dia hanya menolak lengan mangsa sahaja.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Raihanah Abdul Razak memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran kerana kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius selain doktor itu hanya cuba untuk menenangkannya.

Iklan

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, tertuduh dan isterinya membawa anak lelaki mereka yang berusia lima tahun ke Hospital Ampang untuk mendapatkan rawatan sebelum mangsa yang merupakan doktor di hospital itu terdengar bunyi bising dari Bilik 1, Zon Hijau Jabatan Kecemasan.

Doktor wanita itu kemudian memasuki bilik itu dan melihat seorang jururawat sedang mengambil darah anak tertuduh, namun, lelaki yang tidak berpuas hati dengan proses pengambilan darah itu bertindak memarahi dan mengugut untuk menampar jururawat berkenaan.

Mangsa kemudian cuba menenangkan tertuduh, namun tertuduh semakin marah dan beliau pula diugut akan ditampar sebelum lelaki itu diarahkan keluar dari bilik berkenaan.

Tertuduh kemudian bertindak menampar lengan doktor itu hingga mengakibatkan kesan merah dan kesakitan di lengan kirinya. - Bernama